Kaji semula proses rehabilitasi mangsa tahanan SOSMA – TKM II

Admin

PERAI – Kerajaan Persekutuan diminta mengkaji semula program pemulihan semula mangsa-mangsa yang pernah ditahan di bawah SOSMA atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, kajian terhadap pelaksanaan program rehabilitasi ini penting demi memastikan mangsa tahanan serta anggota keluarga mereka dapat menjalani kehidupan dengan aman seperti rakyat Malaysia yang lain.

“Kerajaan Pakatan Harapan melalui Pejabat Peguam Negara menasihati Timbalan Pendakwaraya (DPP) di setiap negeri supaya meminda sabitan di bawah SOSMA kepada Akta Pertubuhan 1966 sekali gus membebaskan mangsa-mangsa tahanan.

“Namun apa yang saya dengar adalah mangsa-mangsa yang dibebaskan menghadapi satu masalah iaitu sabitan terhadap mereka masih lagi ada dan perkara ini mendatangkan kebimbangan yang berterusan kepada tahanan dan anggota keluarga.

“Hal ini kerana sekiranya berlaku sesuatu jenayah di daerah tempat mereka tinggal, secara tidak langsung mangsa-mangsa ini akan menjadi pihak pertama yang disyaki terlibat dengan jenayah tersebut.

“Oleh sebab itu, saya meminta kerajaan PH mengadakan satu program rehabilitasi (memulihkan kepada keadaan asal) untuk mengembalikan semula keyakinan mangsa-mangsa ini,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai pada sidang di sini sebenar tadi.

Dalam sidang media sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David Marshel berkata, sehingga kini seramai 442 orang telah ditahan di bawah akta SOSMA, dengan seorang daripada mereka dibebaskan tanpa disabitkan dengan apa-apa kesalahan.

“Ini bermakna tindakan di bawah akta SOSMA tidak menyasarkan individu-individu tertentu sebaliknya pihak berwajib bertindak secara rambang dengan menangkap sesiapa sahaja yang dirasakan telah disyaki.

“Untuk makluman, hanya 30 peratus daripada 442 tahanan mengaku kesalahan di bawah Akta Pertubuhan dan selebihnya tidak mengaku bersalah,” katanya lagi sambil menzahirkan penghargaan kepada kerajaan PH kerana berusaha memansuhkan undang-undang SOSMA.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim menyatakan bahawa rumusan akhir cadangan pemansuhan akta SOSMA telah memasuki peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Jemaah Menteri.

Katanya, kabinet akan berbincang dan memutuskan sama ada cadangan itu akan dibentangkan dalam sidang Parlimen yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Sebagai rekod, akta SOSMA diluluskan di Parlimen pada 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Mengikut SOSMA, seseorang pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana tahanan selama 24 jam sahaja dan melanjutkan tempoh penahanan tidak lebih 28 hari untuk siasatan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD