Kaji struktur keseluruhan dulu – Bakhtiar

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN– Seramai enam ahli majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) diumumkan sebagai Pengerusi Gantian pada Mesyuarat Biasa Majlis pertama yang bersidang bagi tahun 2015 di Dewan Bandaran di sini baru-baru ini.

Turut tersenarai, Ahli-ahli Jawatankuasa Tetap dan Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) MPPP bagi tempoh 15 Januari hingga 31 Disember 2015.

Buletin Mutiara  sempat menemubual dua ahli majlis baru dilantik iaitu Muhammad Bakhtiar Wan Chik, 49, yang diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Lalulintas serta Felix Ooi Keat Hin, 40, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Pemajuan.

Ketika diminta mengulas lanjut berhubung bidang tugas baru, MUHAMMAD BAKHTIAR memberitahu bahawa beliau akan mengkaji terlebih dahulu struktur keseluruhan kawasan yang diliputi Majlis.

“Saya baru di dalam jawatankuasa ini.

“Walau bagaimanapun, melalui ahli jawatankuasa yang telah dilantik di bawah portfolio ini, kami akan sama – sama membuat penambahbaikan kepada prestasi keseluruhan daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Pokok perkara paling penting adalah sebagai pasukan, kita perlu kerja bersama-sama dan pastikan matlamat akhir adalah untuk meringankan masalah lalulintas yang dihadapi rakyat Pulau Pinang,” ujarnya yang sebelum ini merupakan Pengerusi Gantian bagi Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan (2014).

Muhammad Bakhtiar yang pernah bekerja di beberapa syarikat multinasional turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang sumber manusia.

Menurut beliau, kebiasaannya pembayar cukai akan menilai prestasi Majlis berdasarkan dua perkara iaitu pengurusan sisa dan masalah lalulintas.

“Salah satu perancangan strategik adalah melihat apa yang Kerajaan Negeri sedang lakukan dan apa yang rakyat inginkan, “Ia merupakan satu cabaran, tetapi, kita bersedia tanganinya,” jelasnya.

Empat Pengerusi Gantian lain yang masih dikekalkan jawatan ialah Joseph Ng Soon Siang bagi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan , Ong Ah Teong (Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam ) , Dr. Tan Kim Hooi ( Jawatankuasa  Tetap Penguatkuasaan & Pendidikan Awam untuk tempoh 15 Januari 2015 hingga 30 Jun 2015) dan Lim Boon Beng (1 Julai 2015 hingga 31 Disember 2015).