GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPSPP) telah melantik perunding bagi menjalankan Kajian Reka Bentuk Terperinci untuk mengurangkan risiko banjir di Lembangan Sungai Lahar Endin.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata bahawa kajian tersebut dilaksanakan bagi menentukan kaedah mitigasi paling bersesuaian termasuk melibatkan kawasan Sungai Lahar Endin dan Sungai Lahar Tiang.
“Sebagai makluman, kajian berkenaan kini masih berada pada peringkat penyediaan reka bentuk konsep dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.
“Sebagai langkah pencegahan banjir di kawasan hotspot sementara menunggu projek dilaksanakan, JPSPP sedang menjalankan kerja-kerja menaik taraf tebing sungai serta pembersihan kelodak (desilting) menerusi Program Pemuliharaan Sungai.
“Kerja-kerja tersebut melibatkan Sungai Lahar Tiang dan Sungai Tembus bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat,” katanya ketika menjawab Soalan Lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini sebentar tadi.
Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga turut menyatakan bahawa Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Lahar Endin masih belum dimulakan buat masa ini.
“Cadangan projek fizikal hanya akan dilaksanakan selepas kajian reka bentuk terperinci tersebut siap sepenuhnya,” ujarnya.
Mengulas mengenai soalan tambahan, Zairil memberitahu bahawa pihaknya kebelakangan ini turut menerima beberapa aduan berkaitan isu penyelenggaraan sungai serta sistem saliran di beberapa kawasan yang mempunyai masalah serupa.
“Antara faktor yang dikenal pasti adalah kekangan peruntukan penyelenggaraan yang menyebabkan kekerapan kerja-kerja berkaitan terpaksa dikurangkan.
“Peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan sebelum ini adalah sekitar RM22 juta, namun kini berkurangan kepada kira-kira RM14 juta.
“Sehubungan itu, perbincangan bersama Pegawai Kewangan Negeri akan diadakan bagi melihat keperluan untuk meningkatkan semula peruntukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ulasnya lanjut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & SIEW CHIA EN