Kajian Sisa Domestik Sea Circular Economy kurangkan kesan buruk pencemaran plastik

Admin

SEBERANG JAYA – Kampung Permatang Nibong dekat sini dipilih sebagai kampung pertama di negeri Pulau Pinang untuk menjalankan projek perintis bagi Kajian Sisa Domestik Sea Circular Economy.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, kajian tersebut dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada orang awam mengenai kesan buruk pencemaran plastik.

“Pulau Pinang dipilih sebagai salah satu daripada dua lokasi di negara ini untuk turut serta dalam mendokumentasikan kajian kes bagi membantu mengenal pasti penyelesaian berasaskan pasaran dalam mengurangkan plastik sekali guna.

Sr. Rozali Mohamud menyerahkan borang kaji selidik bagi Kajian Sisa Domestik Sea Circular Economy pada majlis pelancarannya dekat Dewan Orang ramai Kampung Permatang Nibong, semalam.

“Dengan pelaksanaan kajian ini kita sekaligus dapat memberi kesedaran kepada orang awam mengenai kesan buruk pencemaran plastik terhadap persekitaran laut dengan mengubah pengurusan plastik dan mencegah kebocoran sampah.

“Selain itu, kajian ini juga dijangka dapat menggalakkan penduduk memberikan komitmen dalam usaha mengasingkan sampah yang akan menjadi normal baharu,” ujarnya semasa berucap pada program pelancaran Soal Selidik Sisa Domestik Sea Circular Economy Projek Perintis Kampung Permatang Nibong, semalam.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Booh Poh dekat Dewan Orang Ramai Kampung Permatang Nibong, di sini.

Turut hadir, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod serta Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Josephine Tan Mei Ling.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa kajian berkenaan adalah untuk menetapkan jenis-jenis serta ciri-ciri sisa domestik yang dijana termask keseluruhan sampah dan buangan yang dipecahkan di bawah komponen kertas, sisa makanan, plastik, getah dan sebagainya.

“Melalui projek ini, penghuni rumah diperlukan untuk mengisi boring soal selidik serta diminta untuk memisahkan sisa domestik basah dan kering ke dalam bes plastik berlabel selama dua hari.

“Sisa yang dikumpul akan dibawa ke pusat dan dipecahkan lagi kepada beberapa kategori yang ditentukan, ditimbang serta dicat sebelum didokumentasikan berserta bukti fotografi.

“Hasil yang diperoleh akan dianalisa menggunakan alat saintifik dan ditabulasilkan untuk menggambarkan penemuan tersebut yang mana hasil penemuan ini membolehkan satu perancangan dirangka bagi mengurangkan sisa domestik yang dihantar ke tapak pelupusan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Boon Poh menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberikan sokongan sepenuhnya terhadap sebarang usaha untuk melestarikan alam sekitar.

“Saya yakin jika kita semua memberikan kerjasama dengan mengasingkan sisa domestik, projek ini akan dapat dijayakan,” katanya.

Terdahulu, program sama turut dilaksanakan di Taman Bagan Lalang dekat Sungai Puyu yang dipilih sebagai projek perintis bagi kategori taman atas dasar penglibatan secara aktif dalam kegiatan kitar semula dan aktiviti kehijauan.

Difahamkan, projek berkaitan adalah merupakan inisiatif UN Environment Programme (UNEP) and the Coordinating Body on the Seas of East Asia (COBSEA) dengan kos kira-kira USD12,500.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD