Kajian teknikal menyeluruh, laluan alternatif perlu diwujudkan elak lubang benam berulang di Bagan Lalang

Admin
49089e0f aa31 4709 bb3a 45701ea0235f

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze menggesa Kerajaan Negeri menjalankan kajian teknikal secara menyeluruh serta mewujudkan laluan alternatif untuk kenderaan berat bagi menangani isu lubang benam (sinkhole) yang kerap berlaku di Jalan Bagan Lalang.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin memandangkan kawasan berkenaan kini menjadi laluan utama industri yang menampung beban kenderaan berat secara berterusan.

“Isu lubang benam di Jalan Bagan Lalang bukan lagi sekadar masalah jalan mendap biasa, tetapi melibatkan risiko geologi dan keselamatan yang boleh mengancam nyawa.

“Jalan ini dahulunya merupakan kawasan paya bakau dan kemungkinan struktur tanah asalnya tidak distabilkan secara menyeluruh semasa pembangunan awal.

“Kini, dengan kepesatan projek perumahan dan perindustrian di Sungai Lokan, lori berat dan kontena saban hari melalui jalan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 11 Mei 2026.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Syn Tze berkata bahawa hasil siasatan awal bersama pihak Indah Water Konsortium (IWK) pada 2 Mac lalu mendapati wujud aliran air bawah tanah atau mata air yang menyebabkan struktur tanah menjadi tidak stabil.

“Saya percaya wujud faktor seperti kebocoran atau pergerakan air bawah tanah yang memerlukan siasatan lanjut.

“Sebagai contoh, projek IWK-SPI 228 yang asalnya direka untuk 63,000 pengguna kini terpaksa menampung sehingga 137,000 pengguna, iaitu peningkatan lebih sekali ganda.

“Beban yang melampau ini, ditambah dengan faktor kebocoran kecil di bawah tanah, pasti akan menyebabkan pergerakan tanah yang serius,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata bahawa sudah tiba masanya untuk Kerajaan Negeri mewujudkan jalan alternatif bagi memastikan kejadian lubang benam seperti yang berlaku sekali lagi pada 20 Februari 2026 tidak terus berulang.

“Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri mempertimbangkan satu laluan alternatif atau jalan pintasan (bypass) baharu khusus untuk kenderaan berat.

“Ini bagi mengurangkan beban terus ke atas struktur tanah di Jalan Bagan Lalang yang semakin meruncing demi keselamatan infrastruktur dan kelangsungan hidup rakyat di kawasan sekitar,” tambah beliau.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI