KAM pacu pembangunan RM700,000 di Kampung Sungai Setar Besar

Admin
a30b7d58 147f 4c05 8b0e adaba49025ac CHE Murad Sayang Ramjan menyampaikan ucapan perasmian penutup Program Kampung Angkat Madani (KAM) Kampung Sungai Setar Besar dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh pada 6 Oktober 2026.

SUNGAI ACHEH — Pemilihan Kampung Sungai Setar Besar sebagai lokasi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) menjadi pemangkin kepada pembangunan fizikal, pendidikan, modal insan dan kemahiran dalam usaha memperkasa komuniti setempat.

Majlis perasmian penutup program berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, di perkarangan Masjid Al-Fatah, dekat sini hari ini.

Semasa berucap, beliau berkata bahawa pemilihan kampung berkenaan amat bertepatan dengan keunikan identitinya sebagai kampung tradisional yang berasaskan aktiviti pertanian padi serta perikanan.

“Keunikan tersebut merupakan kekuatan yang perlu dipelihara, namun tradisi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kemajuan.

“Sebaliknya, kita perlu menggabungkan kekuatan tradisi dengan teknologi, inovasi dan kemahiran moden supaya masyarakat kampung terus maju tanpa kehilangan identiti serta akar budaya mereka,” katanya.

19f078b3 a044 4439 a0e9 6a3eb2c48cf1 4a6b4c70 8915 4d6f 9700 99ed2f2e3fa9 814516b4 9254 4331 8da7 424a4c42d0fcDifahamkan, KAM di Kampung Sungai Setar Besar menerima peruntukan RM700,000 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan, khususnya penambahbaikan kemudahan asas dan pembangunan komuniti.

Lima projek fizikal dilaksanakan menerusi peruntukan tersebut, melibatkan kerja menaik taraf dan membaik pulih Masjid Al-Fatah Kampung Sungai Setar Besar, menaik taraf taman permainan di Kampung Sungai Setar Besar dan Kampung Sungai Tok Tuntung, membina mercu tanda kampung serta menaik taraf Tabika KEMAS Tanah Kebun.

Mengulas lanjut, Che Murad Sayang memebritahu bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh di bawah Program Sekolah Angkat MADANI dengan peruntukan RM100,000.

Jelasnya, peruntukan itu digunakan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembinaan ruang amali pertanian, penyediaan kelengkapan bengkel dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan pusat sumber, kelas digital serta program pembangunan sahsiah dan jati diri murid.

“Keseluruhan dana ini merupakan pelaburan penting dalam memperkasakan kemudahan fizikal, pembangunan modal insan serta potensi ekonomi komuniti setempat.

“Selain itu, JKM turut memperkenalkan Program TVET On Job Training dengan kerjasama Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) menerusi peruntukan RM100,000 bagi melatih 12 pelajar institut berkenaan bersama 15 belia Kampung Sungai Setar Besar.

“Program itu memberi latihan praktikal kepada golongan belia dalam pengendalian jentera pertanian berat termasuk traktor menerusi kursus bertauliah yang menawarkan pensijilan dan diploma.

“Kita mahu anak-anak muda di kampung ini memperoleh kemahiran TVET yang mempunyai nilai pasaran tinggi,” katanya lagi.

Tambah beliau, Kampung Sungai Setar Besar mempunyai 519 penerima bantuan JKM daripada keseluruhan 22,652 penerima bantuan jabatan itu di Pulau Pinang, dengan nilai bantuan bulanan yang disalurkan mencecah RM65.7 juta.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, ICU JPM), Mohd. Iqbal Mohd. Noor; Pengarah PERDA-Tech, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Rohaimi Osman; serta Penolong Pegawai Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan, Mat Saad Osman.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI