Kampung Contoh jadi kawasan tarikan pelancongan baru Seberang Perai

TELUK AIR TAWAR – Kampung Contoh yang terletak di pesisiran pantai Bagan Ajam berpotensi untuk dikembangkan sebagai Kampung Pelancongan Pulau Pinang bagi kawasan Seberang Perai.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, pemilihan Kampung Contoh adalah kerana pelbagai tarikan yang terdapat di kawasan tersebut terutamanya landskap alam semula jadinya yang sangat menarik.

Yeoh Soon Hin mengedarkan pelitup muka kepada pengunjung yang sedang menikmati keindahan pantai di Kampung Contoh, di sini.

“Saya melihat Kampung Contoh sangat berpotensi untuk dikembangkan sebagai kawasan pelancongan kerana ia mempunyai pantai yang cantik untuk rekreasi keluarga sambil menikmati pemandangan indah.

“Saya yakin tempat ini bakal menjadi lokasi tumpuan orang ramai selepas ini terutamanya apabila gambar-gambar serta rakaman video di kampung ini muncul di media sosial seperti laman Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya.

“Oleh itu, kita harap kampung ini dapat dimajukan sebagai tarikan bukan sahaja untuk penduduk tempatan malah dari luar Pulau Pinang dan juga antarabangsa,” katanya ketika merasmikan program Pengindahan dan Keceriaan Kampung Contoh dekat Bagan Ajam, di sini pada 21 November 2021.

Kemudahan untuk pelancong bergambar kenang-kenangan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Tan Chee Teong; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Anuar Omar; Pengerusi Persatuan Nelayan, Unit Bagan Ajam, Mazlan Abdul; Pengerusi Surau Taman Tun Dr. Awang, Mazlan Md. Hussain serta Pengerusi Persatuan Penduduk Bagan Lebai Tahir, Ismail Yusoff.

Terdapat beberapa kemudahan disediakan bagi kemudahan pengunjung seperti gazebo (pondok rehat) yang dibina di sepanjang pesisir pantai untuk pengunjung beristirahat.

Selain itu, turut disediakan ialah papan tanda untuk bergambar, buaian dan kerusi-kerusi rehat pelbagai warna untuk kemudahan pengunjung selain gerai-gerai jualan makanan dan minuman.

Lebih istimewa, di Kampung Contoh juga terletak beberapa perusahaan produk hasil laut yang diusahakan oleh penduduk tempatan seperti ikan masin dan belacan.

Melawat pembuatan ikan masin oleh penduduk tempatan.

Mengulas lanjut, Soon Hin menyeru penduduk tempatan agar mengusahakan sendiri jualan makanan, minuman dan sebagainya untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka melalui aktiviti pelancongan.

“Contohnya, mak cik-mak cik boleh kuih-muih tradisional, kakak-kakak pula menjual laksa yang enak, sementara orang muda pula menjual pelbagai jenis minuman dan sebagainya.

“Ini kerana, untuk membangunkan pelancongan, saya percaya dan berpegang kepada prinsip bahawa sebarang pembangunan pelancongan mesti membawa manfaat kepada penduduk setempat.

Bergambar berlatarbelakangkan gazebo yang dibangunkan melalui peruntukan Pejabat PETACE.

“Jadi, kita mahu nelayan yang tangkap ikan boleh menjadikan hasil laut mereka sebagai produk tampatan yang mahsyur serta mampu menarik kehadiran orang ramai ke sini.

“Inilah rancangan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk membantu penduduk tempatan sekali gus memajukan komuniti di negeri ini,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Pelan Induk Pelancongan Negeri Pulau Pinang tahun 2021 hingga 2030 yang menitikberatkan pembangunan pelancongan di kawasan Seberang Perai.

“Kampung Contoh adalah satu inisiatif daripada pelan ini yang dilaksanakan oleh Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) dengan usaha sama ADUN Teluk Air Tawar, YB Mustafa Kamal Ahmad dan Pengerusi MPKK, Anuar Omar.

Antara tarikan yang terdapat di pantai Kampung Contoh.

“Bagi tahun-tahun akan datang kita hendak pembangunan seimbang di bahagian pulau dan Seberang Perai kerana kita akui Seberang Perai mempunyai banyak tempat berpotensi untuk pelancongan.

“Seberang Perai mempunyai pantai yang cantik serta bersih, dan ini merupakan salah satu produk yang kita akan pertimbangkan selain membangunkan lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai tarikan pelancong,” ulasnya.

Selaras dengan kempen ‘Pelancongan Bertanggungjawab’ yang dilancarkan oleh PETACE, Soon Hin turut berharap agar semua pihak dapat mematuhi garis panduan pencegahan wabak COVID-19 untuk mengelakkan berlakunya perebakan.

Papan tanda Kampung Contoh.

“Bukan itu sahaja, saya juga berharap agar orang ramai dapat mengamalkan sikap bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan keindahan kampung ini untuk membolehkan ia kekal sebagai tapak pelancongan menarik,” serunya lagi.

Sementara itu, Mustafa Kamal memaklumkan bahawa sebanyak lapan tapak kendera saji akan disediakan di Kampung Contoh untuk merancakkan lagi aktiviti perniagaan di kawasan tersebut.

“Lapan tapak kendera saji ini dijangka siap pada Mac 2022 sekali gus ia akan menjadikan ia sebagai tarikan pelancongan kerana kawasan ni merupakan satu-satunya kawasan yang ada pantai terpelihara.

“Kita juga akan menyediakan pasar tani di sebelah kompleks makanan (Kompleks Makanan Taman Tun Dr. Awang) di sini yang akan dikendalikan oleh pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Saya percaya, usaha-usaha yang kita lakukan ini dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke sini dan seterusnya mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk tempatan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD