Karikaturis Azmi Hussin sasar cipta rekod dunia, cipta legasi untuk keluarga

MEMULAKAN kerjaya sebagai artis karikatur jalanan pada usia 29 tahun sedekad lalu, MOHD. AZMI MOHD. HUSSIN atau dikenali sebagai Azmi Hussin kini masih mahu mengorak langkah lebih jauh lagi dan mencabar diri untuk mencipta legasinya tersendiri.

 

Ketika ditemui, bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu bahawa beliau mahu mengangkat watak yang dihasilnya iaitu ‘Joe G’ setanding watak-watak lain yang dikenali ramai.

 

“Ramai apabila disebut atau tengok Doraemon mereka boleh segera mengenali watak tersebut, tahu bagaimana rupanya.

 

“Jadi saya berharap nanti apabila orang melihat watak Joe G, ramai yang kenal dan tahu bahawa watak ini wujud

 

Anak kelahiran Bagan itu ditemu bual oleh wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, LAW SUUN TING di Komtar baru-baru ini.

 

Beliau yang ditemani isteri, MARJANAH SHAMMOON RALI berkata, kini selain melukis karikatur beliau juga terlibat secara aktif dalam menghasilkan mural.

 

“Sebelum ini, saya ada menghasilkan buku komik iaitu ‘Tanjong Life’ (2015) yang memaparkan pengembaraan ‘Joe G’ melawat tempat-tempat menarik dan mencuba makanan Pulau Mutiara yang terbaik.

 

Buku komik kedua adalah ‘The Little Mamak’ (2016) yang menceritakan pengalaman saya sendiri ketika zaman kanak-kanak yang membesar di kampung disusuli dengan ‘Lost in Bagan’ (2017) yang mengetengahkan perjalanan di kawasan Butterworth atau Bagan.

 

“Buku komik keempat adalah ‘Tanjong Life : The New Norm’ yang diterbitkan pada 2021 merakamkan kisah-kisah semasa pandemik dan bagaimana kita menjalani kehidupan dalam normal baharu.

ANTARA karya yang dibukukan.

“Buku komik terakhir adalah ‘Tanjong Life : Back to the 90s’ (2022) dan memandangkan kini lebih ramai menggunakan platform digital untuk membaca komik, maka saya hentikan seketika menghasilkan buku komik.

 

“Saya beralih pula ke buku mewarna, ‘Warna Warni George Town’ yang dilancarkan pada Festival George Town baru-baru ini,” ujar Azmi tentang kisah perjalanan seni beliau sehingga kini.

MOHD. Azmi Mohd. Hussin akan meneruskan penghasilan siri buku mewarna pada masa akan datang.

Buku mewarna ‘Warna Warni George Town’ memaparkan bangunan-bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO termasuk bangunan dari abad ke-19 seperti Masjid Kapitan Keling, India House, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang dan Pasar Campbell Street.

 

Di Pulau Pinang, kata Azmi, banyak bangunan warisan yang masih mengekalkan ciri-ciri seni bina lama.

 

“Jadi buku mewarna ini bukan sahaja untuk kanak-kanak meneroka kreativiti masing-masing tetapi juga kepada orang dewasa, kerana mewarna merupakan salah satu bentuk ‘healing’,” katanya yang bukan sahaja seorang kartunis malah pernah mencipta nama sebagai pelukis kopi.

LUKISAN #Inktober2023 bertemakan ‘Angel’ yang mendapat perhatian ramai.

Selain itu, Azmi juga giat menyertai komuniti ‘Inktober‘ yang mana 31 lukisan dihasilkan sepanjang 31 hari pada bulan Oktober ini.

Kalau tengok di Facebook, memang saya ada menyertai komuniti ini…ideanya setiap hari ada satu tema.

“Setiap artis yang menyertainya akan mempunyai interpretasi sendiri dan melalui pergerakan ini juga, kita akan dapat mengenali artis-artis lain juga dengan hanya menggunakan #inktober dan tema harian.

“Saya juga cuba selitkan dengan isu semasa seperti yang berlaku di Palestine dan mendapat perhatian ramai seperti lukisan ‘Angel‘, ” jelasnya.

 

Anugerah dan Pengiktirafan

 

Bercerita mengenai pencapaian sejak sedekad lalu, Azmi memberitahu antara kejayaan terbesar adalah apabila buku komik keduanya iaitu ‘The Little Mamak’ tersenarai antara 50 buku terbaik di Malaysia oleh Majlis Buku Negara.

 

Buku komik ‘The Little Mamak’ pernah mewakili Malaysia ke Pesta Buku di Frankfurt, Jerman.

 

“(Dan) buku komik ini diharap terpilih untuk ke Pesta Buku di Chennai, India tahun hadapan,” ujarnya.

 

Azmi juga pernah menerima pengiktirafan dalam The Malaysia Book of Records iaitu ‘Most Caricature Live Painting in 24 Hours’ selepas berjaya melukis 320 karikatur dalam masa 24 jam pada 2017.

 

Rentetan kejayaan itu, sekali lagi menempa nama dengan menghasilkan lukisan terpanjang, berukuran 102 meter panjang dan 12 meter lebar, menggunakan 100 peratus kopi berkualiti tinggi ‘The Longest Coffee Painting’ pada 2018.

Kemudiannya pada 2021, beliau menghasilkan lukisan komik terpanjang dikenali sebagai ‘Saga Kami’ sepanjang 150 meter menggunakan kertas lukisan dan pen Sharpie.

MOHD. Azmi Mohd. Hussin bersama-sama pengiktirafan yang diterima. (Gambar : Asia Book of Records)

Dan terbaharu, lukisan menggunakan kopi sama turut dinobatkan sebagai ‘The Longest Coffee Painting in Asia’  dan ‘Most Caricature Live Painting in 24 Hours’ juga diiktiraf di dalam Asia Book of Records pada September 2022.

 

Kejayaan demi kejayaan, beliau terpilih menerima Anugerah Kembara PEKOMIK daripada Persatuan Penggiat Komik (PEKOMIK) Malaysia pada 2018 dan Tokoh Kartunis Pulau Pinang daripada Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) pada tahun 2021.

 

Beliau juga menyimpan hasrat untuk menempa nama dalam Guinness World Record untuk lukisan kartun terpanjang.

 

Seterusnya saya meletakkan sasaran untuk mencipta rekod dunia dan diharap dapat menjadi kenyataan tahun hadapan seperti yang saya cita-cita apabila usia mencecah 40 tahun.

 

“Sekiranya menjadi kenyataan maka saya mempunyai satu rekod dunia, dua rekod Asia dan tiga rekod kebangsaan,” katanya.

Azmi juga menerima anugerah India Muslim Entrepreneur Conference IMEC Award 2023 (bagi kategori Art & Creative) baru-baru ini.

 

Impian dan Harapan

 

Menginginkan sebuah lokasi di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO untuk dijadikan galeri bagi mempamerkan karya-karya seninya kepada umum.

 

Buat masa ini saya mempunyai studio Bandar Baru Air Itam, namun demi untuk melebarkan sayap dan membuka ruang serta peluang yang lebih meluas dalam industri seni ini, saya mengimpikan sebuah galeri sendiri.

 

“Oleh kerana George Town kaya dengan sejarah dan seninya tersendiri, pastinya ideal jika saya boleh dapatkan sebuah premis di sini dan saya masih berusaha untuk mendapatkannya,” katanya ringkas apabila ditanya mengenai impian beliau.

MOHD. Azmi Mohd. Hussin dan isteri menunjukkan buku warna yang dihasilkannya untuk tahun 2023.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, beliau mempunyai harapan agar suatu hari nanti karya seninya bukan sahaja dinikmati dan diingati oleh orang ramai tetapi juga meninggalkan legasi untuk keluarganya.

 

“Anak-anak saya kini ketiga-ketiganya gemar melukis.

 

“Masing-masing mempunyai cara tersendiri dan saya tidak pernah meminta untuk mereka mengikuti jejak langkah saya.

 

“Minat melukis mungkin timbul apabila mereka kerap melihat saya melukis di rumah.

 

“Jadi saya berharap suatu hari nanti, lukisan saya bukan sekadar hasil seni tetapi juga sebagai legasi untuk keluarga saya,” jelasnya.

 

Bagi yang berminat dengan hasil karya beliau, boleh dapatkan melalui TikTok https://www.tiktok.com/@azmi_hussin.