Karnival ❤️PENANG diinspirasikan daripada suara hati rakyat – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru seluruh rakyat yang berbilang kaum di negeri ini supaya mempertahankan keharmonian yang telah sekian lama terjalin di samping bersama-sama membantu pentadbirannya membawa nama Pulau Pinang ke persada antarabangsa.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya komited meningkatkan peluang kerjaya, perniagaan dan pelaburan demi meningkatkan taraf hidup rakyat Pulau Pinang.

KETUA Menteri semasa menyampaikan ucapan perasmian Karnival ❤️PENANG di Padang Kota Lama di sini pada malam tadi.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival ❤️PENANG yang didatangkan secara khas di perkarangan Padang Kota Lama di sini pada 7 Januari 2023.

“Objektif utama (penganjuran Karnival ❤️PENANG) adalah untuk menyemarakkan semula kehidupan sosial rakyat pasca pandemik COVID-19, iaitu selepas kita semua berdepan dengan krisis kesihatan global yang cukup besar dan meninggalkan impak terhadap semua aspek kehidupan.

“Kami (Kerajaan Negeri) akan terus berusaha demi membangunkan negeri ini dan juga dengan sepenuh hati mendengar suara rakyat jelata,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri, beberapa ADUN, Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying turut menyertai acara majlis perasmian karnival tersebut yang diadakan serentak dengan pameran gerai makanan di sini.

Menurut Kon Yeow lagi, pentadbirannya turut akan meneruskan usaha-usaha pemulihan semula sektor-sektor ekonomi rakyat yang terjejas teruk ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam beberapa fasa hampir selama dua tahun sebelum ini.

“Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberi tumpuan kepada usaha pemulihan sektor-sektor yang terjejas oleh pandemik sejajar dengan Fasa 2 Visi Penang2030,” ujarnya.

Selain itu, Kon Yeow turut menyatakan komitmen untuk mempertahankan mandat rakyat melalui proses demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Tahun ini juga, kita akan mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Pasukan saya akan terus komited dan bekerja keras bagi mengekalkan pentadbiran Kerajaan Negeri demi kebaikan rakyat dan juga negeri Pulau Pinang secara keseluruhan,” ulasnya lagi yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : SIEW CHIA EN