Karnival Haiwan Kesayangan terap masyarakat prihatin

Admin

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

BUKIT MERTAJAM – Karnival Haiwan Kesayangan Seberang Perai anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini adalah bertujuan mewujudkan masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan haiwan kesayangan serta berusaha menangani masalah haiwan terbiar.

Karnival diadakan di Pejabat Cawangan MPSP Jalan Betek itu turut melibatkan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA), Save Our Strays (SOS) dan Mercy Prai.

Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, penganjuran karnival tersebut adalah sebagai langkah jangka panjang bagi pihak MPSP dalam mengurangkan populasi haiwan terbiar.

“Ini selaras dengan usaha bagi mengelakkan wujudnya pandangan negatif daripada segelintir masyarakat terhadap cara MPSP menangani isu haiwan terbiar,” ucapnya pada Karnival Haiwan Kesayangan Seberang Perai di sini baru-baru ini.

Pertandingan melukis kanak- kanak, program pemandulan, puppies adoption dan taklimat kesedaran adalah antara aktiviti yang dijalankan bersempena karnival berkenaan.

Menurut Maimunah, aduan berkaitan isu anjing terbiar yang semakin bertambah setiap hari memerlukan satu mekanisme pencegahan efektif.

“Mengikut statistik MPSP, penangkapan anjing liar bertambah dari tahun ke tahun.

“Pada tahun 2010, sebanyak 3,746 ekor anjing terbiar ditangkap dan meningkat pada tahun 2011 (3,757), 2012 (5,575) dan sehingga bulan Mei 2013 (1,923),” ujarnya.