Karnival Jom Heboh, Ketua Menteri harap dapat diadakan setiap tahun di Pulau Pinang

Admin

 

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow meluangkan masa kira-kira satu jam melawat sekitar tapak Karnival Jom Heboh edisi Pulau Pinang yang berlangsung dekat Dataran Stadium Batu Kawan di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, Karnival Jom Heboh merupakan sebuah platform yang baik bagi peniaga kecil memperkenalkan produk-produk masing-masing di samping hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga.

Chow Kon Yeow turut berkesempatan melawat pameran kereta keluaran terbaru Proton Nasional.

 

 

 

 

 

 

“Ini kali pertama saya hadir dalam Karnival Jom Heboh. Saya rasa program ini sangat baik dan diharapkan dapat diadakan setiap tahun di Pulau Pinang.

“Selepas ini, kita (Kerajaan Negeri) akan lihat kolaborasi lain bersama Media Prima dan kita juga sedia meneliti jenis kerjasama yang boleh dijalinkan pada masa akan datang,” ujarnya semasa ditemui pemberita pada penganjuran berkaitan.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar; Ketua Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Aljunid serta Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima berhad, Datuk Kamal Khalid.

Bergambar kenangan bersama barisan tetamu jemputan khas yang hadir.

Karnival Jom Heboh yang dianjurkan oleh Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini dengan menyediakan pelbagai aktiviti keluarga bersama artis-artis popular serta barisan selebriti TV3, TV9, 8TV dan NTV7 serta rangkaian radio Hot FM dan Kool FM.

Difahamkan, kira-kira 400,000 pengunjung membanjiri tapak karnival berkenaan untuk mengambil peluang bertemu dan beramah-mesra bersama-sama artis tanah air.

Selain itu, lebih 100 gerai jualan turut dibuka kepada pengunjung bagi memberi pilihan kepada mereka membeli-belah pada harga lebih murah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD