Karnival Kenduri dan Sukan Rakyat erat silaturahim penduduk KADUN Seri Delima

Admin

SERI DELIMA – Kira-kira 2,000 penduduk setempat menyertai program Karnival Kenduri dan Sukan Rakyat 2019 yang berlangsung meriah baru-baru ini.

Syeleena bersama-sama penduduk yang mengambil bahagian.

Program anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Gelugor, Masjid Sungai Gelugor serta Pejabat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata bahawa pengisian program seperti permainan sukan tradisi, perhiasan menggunakan tuala serta penyediaan lauk-pauk untuk jamuan kampung mampu menonjolkan identiti dan budaya masyarakat Melayu di negeri ini.

Malah, katanya lagi, penganjuran aktiviti tersebut juga dapat memberi peluang kepada generasi baru untuk merasai kehidupan kampung yang menjadi warisan nenek moyang sejak dahulu lagi.

Karnival Kenduri dan Sukan Rakyat mampu menjadi platform mengeratkan hubungan antara rakyat dengan pemimpin.

“Dengan ini, dapatlah kita menyemarakkan lagi nilai-nilai dan keunikan sukan ini serta dapat mengekalkan pula warisan budaya kita dari ditenggelami arus kemodenan.

“Dalam konteks ini, orang ramai khususnya generasi muda diseru untuk sama-sama berusaha supaya sukan tradisi kembali mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda hari ini,” katanya.

Turut serta, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.