Karnival SNH sasar 4,000 pengunjung

GEORGE TOWN – St. Nicholas Home (SNH) bakal menganjurkan karnival tahunan kali kesembilan pada 7 September dengan menyasarkan seramai 4,000 pengunjung.

Pengurus Besar SNH, David Chiang berkata, karnival yang akan bermula dari jam 9:00 pagi hingga 2:00 petang itu turut melibatkan 60 gerai menjual makanan, permainan serta hiburan.

“Kami (SNH) berharap dapat mengumpul dana sekurang-kurangnya RM150,000 daripada pembelian kupon melalui kunjungan 4,000 orang pada hari karnival berlangsung,” katanya semasa sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Tambah David, karnival tersebut bukan saja menyeronokkan, malah dapat memberi pengetahuan kepada orang ramai tentang pencegahan dari buta, masalah penglihatan dan Braille daripada kakitangan SNH yang buta.

“Hasil kutipan daripada karnival ini ia akan disalurkan kepada tenaga pengajar kami untuk memberi kesedaran dan meningkatkan program latihan kemahiran di SNH,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat dan ingin membeli kupon bernilai RM20, boleh mendapatkannya di SNH atau menghubungi 04-2290800.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI