Karya P. Ramlee relevan sepanjang zaman – Zairil

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Kritikan sosial dalam filem Ali Baba Bujang Lapok yang dihasilkan oleh Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1961 bukan sahaja relevan, bahkan seakan-akan mengisahkan kepincangan tanah air sekarang.

Pengarah Eksekutif Penang Institude (PI), Zairil Khir Johari berkata, beberapa adegan dalam filem tersebut seolah-olah mengkritik isu RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kononnya derma dari pihak tertentu.

Katanya, langkah Najib menolak tanda tanya rakyat mengenai isu berbangkit belakangan ini, samalah seperti sikap Ali Baba lakonan Allahyarham Datuk Abdul Aziz Sattar menolak pelbagai persoalan isterinya mengenai wang emas yang dibawa pulang ke rumah, dalam filem tersebut.

“Adegan mungkin serupa seperti dalam filem itu, tetapi dialognya mungkin berbeza sedikit…’oh, banyaknya duit ini, dari mana kekanda curi?’…’kekanda bukan curi, kawan kanda derma lah’.”

“Karya Tan Sri P. Ramlee bukan sahaja relevan sepanjang zaman, tetapi sarat dengan nilai serta kritikan sosial yang sangat tajam,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera semasa menyampaikan ucapan perasmian Forum Citra Agama Dalam Seni Tan Sri P. Ramlee di sini baru-baru ini.

Forum tersebut menampilkan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Adrian Lee, Mohd. Faizal Musa atau “Faisal Tehrani” (Novelis dan Fellow Penyelidik USM) dan Prof. Madya Dr. Khairudin Aljenied (Profesor Madya di Jabatan Pengajian Melayu, National University of Singapore) dan seorang ahli fonik profesional.

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu, PI tiap-tiap tahun menganjurkan Festival P. Ramlee dengan mengadakan forum-forum seumpama ini, kerana menganggap hasil karya seniman berkenaan sangat memberi inspirasi serta membina jati diri warga Pulau Pinang.

“P. Ramlee adalah seniman agung yang mendahului zamannya, dengan tema-tema agama di awal perkembangan industri filem di Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia) amat jarang sekali disentuh oleh pembikin-pembikin filem sezaman yang lain.

“Namun, P. Ramlee telah mengambil langkah yang lebih ke depan. “Beliau (P. Ramlee) mampu melihat kelebihan dan keunikan agama dalam menggerakkan masyarakatnya kemudian digarap dalam filem hingga membina jati diri kita pada hari ini,” ujar beliau.if (document.currentScript) {