Kasthuriraani berada di luar negara untuk sertai persidangan antarabangsa – Kon Yeow

PERAI – Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberitahu bahawa penyandang kerusi Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani kini berada di luar negara untuk menyertai satu persidangan antarabangsa.

Beliau menyatakan perkara itu bagi menjawab persoalan beberapa pihak berkaitan ketiadaan kelibat Kasthuriraani dalam siri kempen Pakatan Harapan Pulau Pinang di sekitar Parlimen Batu Kawan yang bermula sejak tiga hari lalu.

Chow Kon Yeow menyantuni peniaga ketika singgah bersarapan di Restoran Mustafa di sini pagi tadi.

“Beliau ada memaklumkan kepada saya bahawa beliau sedang menghadiri persidangan antarabangsa di negara Amerika Latin…sama ada di Brazil atau Argentina.

“Memandangkan persidangan tersebut berlangsung awal minggu ini, beliau memberitahu bahawa akan pulang ke Batu Kawan pada minggu depan dan bersama-sama membantu kami untuk berkempen,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dekat Restoran Mustafa di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan bahawa sambutan yang diterima daripada masyarakat di Batu Kawan adalah sangat menggalakkan sepanjang tiga hari kempen berlangsung.

Mengamalkan kempen muhibah dengan menyantuni penyokong pihak lawan.

“Kami mulakan kempen di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun sejurus selepas selesai penamaan calon, dan diteruskan ke KADUN Perai dan Bukit Tengah.

“Setiap hari, kami fokuskan lawatan ke satu KADUN sahaja dan berharap agar di akhir tempoh kempen ini, kami dapat melawat sebanyak mungkin kawasan kerana Parlimen Batu Kawan merangkumi kawasan yang sangat luas.

“Sambutan yang diterima adalah sangat baik dalam tempoh tiga hari ini, dan kami akan sambung lagi kempen pada hari ini sehinggalah tiba hari mengundi,” katanya.

Kon Yeow berkata, antara isu yang dibangkitkan penduduk kepada beliau sepanjang tiga hari kempen berlangsung adalah berkaitan bantuan kebajikan kepada golongan miskin dan mereka yang mempunyai masalah keupayaan fizikal.

“Ada sesetengah permohonan kini sedang diproses oleh ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jadi kita berharap agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri akan membawa berita gembira kepada mereka secepat mumgkin.

“Malah, ada juga segelintir penduduk yang membangkitkan isu berkaitan tanah khususnya di Perkampungan Juru.

“Selain itu, kami berharap agar dapat mendekati seramai mungkin penduduk untuk menasihati mereka supaya keluar mengundi kerana pilihan raya kali penting dalam usaha membawa agenda perubahan,” ulasnya lanjut.

Selesai bersarapan di Restoran Mustafa, Kon Yeow dan jentera kempen Pakatan Harapan meneruskan program jerayawara ke Pusat Penjaja Taman Chai Leng, di sini pada jam 10 pagi.