Perkhidmatan PTL kini ke Jalan Mt. Erskine

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

PULAU TIKUS – Laluan perkhidmatan bas ulang-alik percuma, Pulau Tikus Loop (PTL) kini diperluaskan hingga ke Jalan Mount Erskine, Tanjung Tokong di sini.

Laluan baru tersebut kini meliputi Jalan Kelawai (bermula di Plaza Gurney) ke Jalan Tanjung Tokong, Jalan Fettes, Jalan Mount Erskine, Jalan Burma, Jalan Pangkor dan berakhir di Jalan Kelawai semula di Gurney Paragon.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berkata, pengenalan laluan baru itu membolehkan penduduk tempatan berulang-alik membeli-belah dan melawat ke tempat-tempat tumpuan pelancong di Pulau Tikus tanpa menggunakan kereta, terutama ketika musim-musim perayaan atau jualan murah.

Malah, beliau memberitahu, permintaan untuk memperluaskan jaringan perkhidmatan PTL amat memberangsangkan sejak beliau merasmikannya pada Oktober 2014 melibatkan laluan di Jalan Kelawai, Jalan Bagan Jermal, Jalan Burma dan Jalan Pangkor.

“Perjalanan sepanjang laluan baru ini membolehkan orang ramai berulang-alik secara bebas tanpa perlu bimbang tentang tempat meletak kereta atau tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

“Walau bagaimanapun, laluan baru ini tidak lagi akan melalui Jalan Bagan Jermal seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi (COO) Rapid Penang Sdn. Bhd., Mejar (B) Mohd. Shukri Abd. Rahman, Pengarah Eksekutif Kumpulan Hunza Properties Berhad, Khor Tze Ming dan Pengurus Komunikasi Pemasaran Plaza Gurney, Peter Chan.

Perkhidmatan PTL adalah inisiatif yang dijalinkan antara Pejabat ADUN Pulau Tikus, Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang), Plaza Gurney dan Gurney Paragon dalam usaha merungkai masalah kesesakan lalulintas di Pulau Tikus.

“Bukan sahaja mengurangkan kesesakan lalulintas, tetapi lebih kepada mahu mendidik orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan awam yang terbukti lebih mesra alam dan murah,” jelas beliau.

Dengan paparan “FREE Pulau Tikus Loop” pada bas, perkhidmatan PTL bermula seawal pukul 8 pagi sehingga 10 malam setiap hari dengan anggaran setiap pusingan memakan masa 30 minit.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);