MPSP hasrat Taman Ampang Jajar jadi hab pendidikan luar

Admin

Oleh: AHMAD ADILMUHAMAD

PERMATANG PAUH – Syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat membangunkan semula Taman Ampang Jajar seluas 36.3 ekar secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) diharap tampil berbincang dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertuanya, Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, sebanyak RM1.39 juta diperlukan untuk memulihara semula taman rekreasi tersebut dalam tempoh lima tahun ini, supaya boleh dijadikan hub pendidikan luar sekolah bagi institusi pendidikan sekitar Seberang Perai.

“Rancangan ini adalah hasil lawatan kerja saya ke Korea, di mana guru-guru di negara itu menggunakan ruang awam sebagai hub pendidikan sains sekaligus memaksimakan penggunaan ruang awam di negara mereka.

“Saya menyeru mana-mana NGO atau komuniti yang berminat untuk bekerjasama dengan MPSP supaya boleh berbuat demikian dengan menghubungi kami (MPSP) terlebih dahulu,” katanya pada majlis penutupan Program Khidmat Sosial Lestari Hijau 2014 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang To’ Kandu baru-baru ini.

Difahamkan, lebih 40 murid Tahun Empat dan Lima sekolah tersebut menjalankan CSR di Taman Ampang Jajar.

Mengulas mengenai perancangan hab pendidikan luar, Maimunah menjelaskan bahawa 12.43 ekar tanah dekat Taman Ampang Jajar telah dibangunkan, manakala, baki 28.87 ekar lagi masih dalam perancangan.

“Pada 9 November 2007, Kementerian Pelancongan telah membiayai sebanyak RM500,000 untuk menaiktaraf taman ini merangkumi pembinaan tembok sepanjang tepi sungai, membaiki tandas, menaiktaraf plaza dan taman permainan.

“ Manakala, projek pembangunan secara CSR ini pula akan digunakan untuk mewujudkan Tree Bank, Pusat Operasi Tapak Semaian dan Kawasan Hijau di sini,” ujar beliau.

Terdahulu, Kelab Berbasikal LP Mountain Bike Seberang Perai Utara menjadi komuniti pertama melaksanakan tanggungjawab CSR di taman tersebut dengan membina laluan basikal sepanjang 1.1 kilometer.

Laluan basikal itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang pada 20 Januari tahun lepas.