Kaunter pandu lalu PPAPP mudahkan orang awam pinjam, pulangkan buku semasa PKPB

Admin

SEBERANG JAYA – Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) menyediakan perkhidmatan kaunter pandu lalu bagi membolehkan penduduk di negeri ini menghantar atau meminjam buku.

Azizah Zainon.

Pustakawan, Azizah Zainon ketika ditemui menjelaskan bahawa kaunter pandu lalu tersebut hanya beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat daripada jam 8:30 pagi hingga 5:00 petang.

Katanya, perkhidmatan itu disediakan berikutan PPAPP terpaksa menutup pusat perkhidmatan dan perpustakaan di bawah kendalian pihaknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Perkhidmatan ini disediakan hanya untuk tempoh pelaksanaan PKPB bagi membolehkan orang awam meminjam atau memulangkan buku-buku yang dipinjam.

“Setiap buku yang dipulangkan akan dikuarantin di dalam bilik khas terlebih selama tiga hari sebelum diletakkan kembali di rak bagi mengelakkan perebakan jangkitan COVID-19,” ujarnya ketika ditemui di sini pagi ini.

Kaunter pandu lalu yang disediakan di Perpustakaan Negeri Pulau Pinang dekat Seberang Jaya.

Menurut Azizah, orang awam boleh mengakses laman sesawang PPAPP di http://www.opac.penanglib.gov.my untuk membuat tempahan buku.

“Selepas pengguna membuat tempahan kita akan sediakan buku-buku yang mereka mahukan dan akan diserahkan kepada mereka di kaunter pandu lalu tersebut.

“Selain itu, kita juga lanjutkan tempoh pemulangan buku daripada 14 hari kepada sehingga 26 Disember ini.

“Oleh itu, bagi mereka yang meminjam buku sebelum tarikh pelaksanaan PKPB boleh memulangkan buku sehingga 26 Disember tanpa dikenakan sebarang denda,” jelasnya.

Tambah Azizah, jumlah pengunjung ke Perpustakaan Negeri itu kembali meningkat pada Jun 2020 selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

“Oleh itu, semua perkhidmatan dan perpustakaan terpaksa ditutup untuk mengelakkan berlaku kesesakan,” katanya.

Pustakawan bertugas seperti biasa walaupun perpustakaan ditutup semasa PKPB.

Difahamkan, selain di Perpustakaan Negeri, kaunter pandu lalu turut disediakan di lima perpustakaan daerah di negeri ini iaitu di Bertam, Bukit Mertajam, Jawi, George Town dan Balik Pulau.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Perpustakaan Negeri di talian 04-390 2387.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS