Kawasan pelancongan Batu Feringghi bakal digazetkan sebagai kawasan larangan merokok

TANJUNG BUNGAH – Inisiatif Penang Bebas Asap Rokok (PENBAR) kini diperluaskan lagi ke kawasan pelancongan Batu Feringghi, di sini.

Menurut Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, kawasan terlibat bermula dari Masjid Terapung Tanjung Bungah sehingga ke Hotel Bayview.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan gazetkan keseluruhan kawasan pantai terutamanya, kiri dan kanan jalan serta semua premis sepanjang jajaran berkaitan.

“Sekarang ini pun sudah ada hotel yang memang tiada lagi bilik untuk yang boleh merokok, kalau ada pun cuma kawasan merokok di luar hotel.

“Kita luaskan kawasan penguatkuasaan PENBAR ini bagi melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok, juga di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004), Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewartakan 23 tempat larangan merokok,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tempat Pelancongan Bebas Asap Rokok di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Pai Chai Batu Feringghi baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Mohd. Ali Sebran; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib dan Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut, Datin Dr. Azizah Ab. Manan.

Tambahnya, sebagai pemacu ekonomi sektor industri pelancongan, kejayaannya bukan sahaja bergantung kepada tarikan sesuatu tempat, malah persekitaran yang mesra dan sihat perlu diutamakan.

“Adalah penting untuk mengukuhkan kempen bebas asap rokok di tempat-tempat pelancongan di Pulau Pinang untuk mengekalkan udara segar dan mewujudkan persekitaran yang sihat untuk warga tempatan dan pelancong dari dalam serta luar negara,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Menurut Afif, pewartaan tersebut akan dibawa ke peringkat Persekutuan dalam masa terdekat sebelum dapat digazetkan dalam masa tiga hingga keempat bulan lagi.

“Pulau Pinang dalam pada itu kini sedang memperluaskan PENBAR kepada setiap daerah iaitu Bertam di Seberang Perai Utara (SPU), Sunway (Seberang Perai Tengah, SPT), Nibong Tebal (Seberang Perai Selatan, SPS), Bayan Baru serta Balik Pulau bagi Daerah Barat Daya (DBD).

“Kawasan-kawasan tersebut dipilih memandangkan ia menjadi tumpuan orang ramai,”katanya lagi.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI