Kayu lama diolah hasilkan produk bermutu tinggi

dsc 7500

KAYU lama daripada bangunan usang bukanlah bahan yang menjadi pilihan bagi kebanyakan pembuat perabot dalam menghasilkan produk bermutu tinggi untuk dijual di pasaran.

Namun, berbeza pula dengan pengusaha Chengal House, GOOI KOK WAH, 56, yang menjadikan kayu-kayu lama daripada struktur bangunan hampir roboh sebagai bahan utama untuk menghasilkan perabot dan hasil kraf yang bernilai tinggi.

Ketika ditemui Buletin Mutiara baru-baru ini, Kok Wah berkata bahawa idea memulakan perniagaan berasaskan kayu lama muncul apabila beliau sering berdepan dengan cabaran untuk mengeringkan kayu semasa bekerja di sebuah kilang perabot kayu.

Menurut beliau, proses mengeringkan kayu cengal yang memakan masa sangat lama iaitu boleh mencecah satu tahun telah menimbulkan masalah terutamanya di bahagian pengeluaran.

“Sebelum memulakan perniagaan ini, saya mula bekerja di kilang perabot kayu dan ketika itu bahagian pengeluaran di kilang menghadapi cabaran rumit yang mana ketika itu kami memerlukan sebuah meja yang diperbuat daripada kayu cengal.

“Pada masa itu, kami membeli kayu (cengal) baru dan perlu dirawat terlebih dahulu melalui proses pengeringan (kiln-dried) yang mana kami terpaksa menunggu sehingga satu tahun untuk kayu tersebut betul-betul kering.

“Keadaan itu membuatkan saya berfikir mengenai cara untuk mengatasi masalah tersebut, dan saya kemudiannya mendapat idea secara tiba-tiba ketika melihat sebuah bangunan usang yang hampir roboh.

“Dari situ, saya membeli kayu daripada bangunan tersebut dan melakukan uji kaji dengan menghasilkan perabot dan mendapati kualiti produk yang terhasil adalah sangat bagus kerana strukturnya kuat dan stabil.

“Kemudian barulah saya sedar bahawa kayu lama sebenarnya bagus, tambahan pula harganya tidak mahal.

“Selain dapat menyelesaikan masalah di kilang, saya juga melihat potensi untuk memulakan perniagaan dengan menceburi bidang jual beli kayu lama,” katanya kepada penulis, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI ketika ditemui dekat Chengal House di Jalan Sungai Kechil, Nibong Tebal.

Mengolah kayu

Kok Wah menyatakan bahawa bermula dari saat itu, beliau mula membeli kayu-kayu lama dan mula membina Chengal House sepertimana yang ada ketika ini seterusnya mengembangkan perniagaan dengan menghasilkan pelbagai produk bermutu tinggi.

“Saya sudah memulakan perniagaan ini sejak 25 tahun lalu dengan mengolah kayu- kayu lama yang dibeli dari seluruh negara.

“Kayu yang saya beli adalah daripada pelbagai sumber, salah satunya daripada bangunan-bangunan kerajaan yang usang, rumah sakit, hospital, stesen kereta api, gudang dan kilang balak.

“Boleh dikatakan bangunan yang usang dan terbiar atau mungkin akan dirobohkan bagi tujuan projek pembangunan semula merupakan sumber utama untuk saya menjalankan perniagaan,” jelasnya.

Beliau berkata, kayu-kayan yang dibeli kebanyakannya adalah jenis kayu keras, padat serta tahan lama seperti cengal, balau, merbau, kempas dan meranti.

“Selain kayu yang dibeli, adakalanya saya mendapat nasihat daripada arkitek bangunan supaya menggunakan komponen bangunan lama seperti tingkap, pintu, bumbung, lampu, perabot lama, bahan-bahan pada bahagian tandas dan barang yang masih boleh digunakan untuk menghasilkan produk perniagaan,” ujarnya.

dsc 7494
Kayu lama yang dikumpul untuk menghasilkan perabot.
dsc 7488
Seni bina struktur menyerupai Peranakan Cina.
dsc 7489
Antara perabot yang dihasilkan menggunakan kayu lama.
dsc 7490
Struktur bumbung galeri yang dibina menggunakan bahagian tingkap sebuah resort lama.
dsc 7493
KEADAAN galeri.

Konsep

Mengimbau semula awal perjalanan Perusahaan Chengal House, Kok Wah memberitahu bahawa tanggapan negatif terhadap kayu lama masih menebal sekali gus menjadi cabaran untuk beliau mengembangkan perniagaan.

“Pada masa itu, masyarakat masih mempunyai kepercayaan negatif terhadap kayu lama seperti terdapat unsur-unsur ghaib selain kayu lama dianggap tidak berkualiti dan kurang bernilai.

“Bagi menghadapi cabaran ini, saya buat Keputusan mendirikan rumah kecil dua tingkat dengan menggunakan bahan-bahan lama yang dirawat seperti jubin, kayu, pintu, singki, tingkap, perabot dan lain-lain.

“Dari situlah terhasilnya rumah kayu ini yang saya jadikan sebagai bilik pameran untuk membolehkan pengunjung datang dan merasai sendiri penggunaan kayu lama yang masih utuh,” ulasnya sambil memaklumkan bahawa rumah kecil tersebut telah dibina oleh beliau sejak 17 tahun lalu.

Tambah Kok Wah, beliau kemudiannya telah membina sebuah lagi galeri berbentuk bangsal panjang dengan struktur yang agak ringkas menggunakan bahan lama seperti pintu dan jendela yang diperoleh daripada sebuah resort terbiar.

“Ini salah satu bilik pameran saya yang boleh dikatakan sebagai ‘berani mencuba’ kerana menggunakan bahan-bahan yang mungkin orang lain tidak terfikir untuk dijadikan struktur asas seperti bumbung.

“Sehingga kini, bangunan ini digunakan untuk mempamerkan parabot-perabot antik lama yang dikumpul dari seluruh negara dan diolah bagi menghasilkan produk berkualiti tinggi,” jelasnya lanjut.

Dapat permintaan tinggi

Kok Wah memaklumkan bahawa kayu lama yang sudah bertahan lebih 50 tahun dan ke atas mempunyai struktur yang sangat kuat, tahan lasak dan mampu bertahan terhadap keadaan cuaca, serangan anai-anai serta tekanan.

“Apabila bahan ini sudah melalui test of time (ujian), maka kita tidak perlu bimbang lagi mengenai kekuatan kayu tersebut kerana ia sememangnya telah diuji dari segi ketahanan.

“Kayu lama mempunyai banyak kelebihan dari segi stuktur yang sudah stabil, warna, kelembapan dan kualiti yang mana apabila bahan ini digunakan semula, ia akan menghasilkan produk terbaiki dalam kalangan terbaik.

“Tambahan pula, kayu lama ini sudah terdedah dalam tempoh waktu panjang yang mana sesuatu yang tidak bagus akan tertanggal dan hanya tinggal struktur berkualiti sahaja.

“Sebab itulah, produk yang dihasilkan menggunakan kayu lama adalah sangat bermutu selain mendapat permintaan tinggi di Malaysia dan seluruh dunia.

“Selain perabot, saya juga mendapat tempahan kayu lama daripada agensi-agensi berkaitan warisan termasuk di negeri Pulau Pinang untuk digunakan bagi membaik pulih bangunan warisan,” katanya yang kini dibantu oleh 13 pekerja.

Difahamkan, Chengal House dibuka setiap hari kecuali cuti umum. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 012 – 431 9993 atau layari laman Facebook di https://www.facebook.com/ChengalHouse.

Selain itu, pengunjung juga boleh melawat sendiri galeri Chengal House yang beralamat di 983, Jalan Loji Bukit Panchor, Jalan Sungai Kechil, Nibong Tebal.