Had laju di Tapak Warisan Dunia George Town dikurangkan kepada 40 kilometer sejam

Admin
dsc 8165 2

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) telah mewartakan had laju kenderaan di sebahagian jalan dalam kawasan Tapak Warisan Dunia George Town kepada kepada 40 kilometer sejam (km/j).

Antara jalan terlibat ialah jalan dalaman meliputi Jalan Dr. Lim Chwee Leong, Gat Jalan Prangin, Lebuh Light, Lebuh Farquhar, Pengkalan Weld, Pesara King Edward, Jalan Penang dan Jalan Sultan Ahmad Shah.

Turut terlibat ialah di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, Jalan Padang Kota Lama, Lebuh Duke, Jalan Green Hall, Gat Lebuh Leith, Lebuhraya Merdeka, Jalan Merdeka, Lintang Merdeka, Pintasan Pengkalan 1, Pintasan Pengkalan 2, Pintasan Pengkalan 3 dan Pintasan Pengkalan 4.

Manakala jalan-jalan utama seperti Jalan Dr Lim Chwee Leong, Gat Jalan Prangin, Lebuh Light, Lebuh Farquhar, Pengkalan Weld, Pesara King Edward, Jalan Penang dan Jalan Sultan Ahmad Shah kekal pada 50km/j.

Ahli Majlis bagi MBPP, Edward Tan Chiew Choon berkata kebanyakan jalan di kawasan Tapak Warisan Dunia George Town adalah sempit, namun terdapat pemandu terutamanya motosikal sering memandu dengan laju.

“Keadaan ini amat membahayakan orang awam terutamanya pejalan kaki dan penunggal basikal serta pengguna perkhidmatan beca.

“Melaksanakan had laju yang lebih rendah bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kebolehidupan di dalam kawasan warisan tetapi juga mewujudkan persekitaran yang hijau kerana karbon yang dibebaskan lebih rendah,” katanya pada sidang media dekat Jalan Kimberley pada 27 Mac lalu.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi MBPP, Benji Ang Ming Quan, Tan Soo Siang, Lee Seng Hwai dan R. Vickneson.

Chiew Choon berkata, MBPP telah mengecat bebendul jalan menggunakan cat merah putih bagi menghalang kesesakan lalu lintas yang berpunca daripada kenderaan yang diparkir di persimpangan jalan.

“Inisiatif ini untuk membolehkan pemandu lebih peka dan tidak meletakkan kenderaan secara sembarangan.

“Walau bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan adalah sama bagi semua kawasan yang tidak boleh parkir dan perbezaan warna hanya untuk meningkatkan kewaspadaan pemandu,” ujarnya.

Sementara itu, jurutera pasukan trafik MBPP, Noor Munirah Raja Ahmad berkata pihak berkuasa akan meletakkan papan tanda had laju di kawasan terjejas secara berperingkat bagi mengingatkan orang ramai tentang had laju tersebut.

“Kami menerima banyak aduan mengenai kemalangan di kawasan yang berkaitan, dan kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kawasan ini mempunyai trafik yang sesak dan kenderaan yang melalui kawasan itu sebenarnya tidak boleh melebihi kelajuan 40 km/j.

“Pemandu mahupun penunggang motosikal harus memperlahankan kenderaan di kawasan ini bagi mengelakkan daripada dikompaun sebanyak RM150,” katanya.