JKSB giat anjur program CSR, raikan anak-anak asnaf

dsc 0597

BATU KAWAN – Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) tidak ketinggalan menganjurkan program Program Shopping Spree Aidilfitri sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Penganjuran kali keempat ini melibatkan 45 orang anak-anak asnaf dari Pusat Jagaan Inapan Kasih Sayang, Kepala Batas yang dirai dengan membeli-belah kelengkapan dan pakaian raya dekat Mydin Bukit Jambul.

9a28c721 0ebb 40bf 9a92 8bf5cb73309e
DATO’ Faisal Shahbudin.

Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Dato’ Faisal Shahbudin berkata, JKSB sentiasa komited dalam melaksanakan program CSR bagi mengukuhkan hubungan dengan komuniti terutamanya golongan asnaf.

“Program berkaitan merupakan anjuran JKSB dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang dalam meningkatkan usaha menerusi pemberian bantuan, sokongan dan perhatian kepada anak-anak asnaf serta keluarga mereka.

“Ini sedikit sebanyak akan memberikan sinar harapan kepada mereka yang lebih memerlukan serta tidak tercicir dalam meraikan perayaan seperti umat Islam yang lain,” ujarnya semasa merasmikan program berkaitan dekat Pejabat Operasi JKSB pada 27 Mac 2024 baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Divisyen Korporat JKSB, Abd Razak Abd Rahman, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan & Kawalan Standard JKM, Rislan Ishak dan Penolong Pengurus Hal Ehwal Pelajar Inapan Kasih Sayang, Farhah Zaidah Md Toha.

Tambah Faisal, JKSB komited menganjurkan program CSR bersama-sama komuniti setiap tahun untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

“Pihak JKSB sentiasa menghargai peluang yang sedia ada untuk berkongsi kegembiraan, saya turut berharap aktiviti sebegini berupaya mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan syarikat dan komuniti asnaf.

“Sehubungan itu, sumbangan dan sokongan JKSB tidak akan terhenti di sini, ia tetap menjadi suatu usaha yang berterusan,” jelasnya lanjut.

9883ead8 7742 4aef 86d1 8104c0a7593b

c079e1c4 d942 44a0 a7fc 3f81f460ba7d
MAJLIS berbuka puasa dan sambutan hari kelahiran anak-anak asnaf pusat jagaan berkaitan.

Difahamkan, selain membeli-belah di pasaraya, bersempena ulang tahun ke-10 pembukaan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) JKSB turut mengadakan majlis berbuka puasa dan majlis menyambut hari kelahiran anak-anak asnaf pusat jagaan berkaitan bersama-sama pihak pengurusan dan kakitangan JKSB serta para wakil media.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT