Kayuh ke tempat kerja, Bike On Friday kembali semarak budaya berbasikal
Admin
Posted on
GEORGE TOWN – Menggalakkan budaya berbasikal dan gaya hidup sihat menjadi antara fokus pengaktifan semula Bike On Friday (BOF), yang kembali menghimpunkan kira-kira 100 peserta dalam kayuhan santai sempena Bulan Kemerdekaan 2026 pada 28 Ogos lalu.
Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Mohamad Yusoff Mohamed Noor, selaku penggerak utama aktiviti BOF berkata, inisiatif tersebut pada asalnya diwujudkan bagi menggalakkan warga kerja berbasikal ke tempat kerja sebagai salah satu usaha mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
“Maka, kayuhan pada hari ini (28 Ogos) boleh dianggap sebagai kayuhan ‘reunion’, untuk ‘regroup’ penggemar-penggemar sukan riadah berbasikal selepas sekian lama tidak bersama dalam aktiviti berkenaan.
Kita mahu menghidupkan semula semangat BOF dan menjadikan berbasikal sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat,” ujarnya ketika dihubungi.
MOHAMAD Yusoff Mohamed Noor (berjaket hitam) bersama-sama sebahagian peserta merakam gambar kenang-kenangan di hadapan Dewan Bandaran selepas berbasikal sejauh 4.2 kilometer menelusuri bandar raya George Town baru-baru ini.
Beliau berkata, aktiviti berbasikal bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, malah menyokong usaha membentuk bandar raya yang lebih hijau, rendah karbon dan mesra komuniti.
Sehubungan itu, tambah beliau, program BOF akan diteruskan pada masa akan datang sebagai platform untuk menggalakkan budaya berbasikal, gaya hidup sihat, mobiliti rendah karbon serta interaksi lebih erat antara warga MBPP dan komuniti setempat.
InsyaAllah, kayuhan BOF seterusnya adalah pada 4 September nanti dari Pulau Andaman ke Dewan Bandaran, Jalan Padang Kota Lama dan aktiviti ini akan diteruskan pada masa hadapan mengikut jadual yang kita akan ditetapkan dari masa ke masa,” katanya.
ANTARA momen yang sempat dirakam sempena BOF pada 28 Ogos lalu.
Terdahulu, pada 28 Ogos lalu, program anjuran Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti, MBPP itu menghimpunkan bukan sahaja Ketua Jabatan dan pegawai MBPP malah turut menerima penyertaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta peminat sukan riadah berbasikal.
Difahamkan, kayuhan bermula kira-kira jam 7 pagi dari perkarangan Dewan Bandaran sebelum peserta menyusuri beberapa laluan di sekitar pusat bandar raya George Town sejauh kira-kira 4.2 kilometer.
Selain beriadah, peserta turut menikmati ‘pit stop’ selama 30 minit untuk sarapan pagi, menjadikan program berkenaan bukan sahaja sebagai aktiviti kecergasan, malah platform mengeratkan hubungan dan silaturahim antara warga MBPP dengan komuniti berbasikal.