Kayuhan Merdeka catat rekod peserta teramai

Teks & Gambar : Ahmad AdiL muhamad

Batu Kawan – Penganjuran program Kayuhan Merdeka ke-56 yang julung kali diadakan di negeri ini berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Record dengan jumlah peserta kayuhan berbasikal teramai di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah baru-baru ini.

Acara yang memperoleh  penyertaan tempatan dan juga luar negara berkenaan berjaya mengumpul seramai 10,000 peserta.

Rekod terbabit diumumkan  sendiri oleh Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas pada majlis perasmian acara terbabit selepas para peserta menamatkan kayuhan sejauh 46 kilometer di jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri,  Datuk Farizan Darus berkata, penganjuran program sedemikian bertujuan memperkenalkan jambatan baru (kedua) Pulau Pinang iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah kepada khalayak umum.

“Selain daripada pengayuh  tempatan, terdapat juga penyertaan dari Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Thailand.

“Penganjuran program seperti  ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan sesama rakyat negara ini, malah juga hubungan antarabangsa, ” katanya pada Majlis Perasmian Kayuhan Merdeka ke-56 di sini baru-baru ini.