Ke arah negeri bebas asap rokok, kempen PENBAR bakal diperluaskan ke seluruh negeri – Exco

DR. Afif Bahardin (kemeja putih) menampal pelekat sementara memaklumkan tentang Nasi Kandar Pelita yang tidak lagi menjual produk hasil tembakau kepada pelanggan dekat Taman Chai Leng hari ini.

PERAI – Kempen Pulau Pinang Bebas Asap Rokok atau PENBAR bakal diperluaskan ke seluruh negeri dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bebas asap rokok.

 

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, cadangan untuk memperluaskan kempen  tersebut masih dalam perbincangan.

 

“Saya ada mengeluarkan arahan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang untuk mengkaji keberkesanan melaksanakan kempen PENBAR ini ke seluruh kawasan di negeri ini.

 

“Harapannya pasti untuk membolehkan Pulau Pinang diisytihar sebagai negeri bebas asap rokok dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya yang mahu kempen ini diperhalusi bagi memberi kefahaman kepada masyarakat umum.

 

Menurut Afif, pada Oktober 2012, kempen ini telah diwartakan di enam kawasan taman rekreasi diikuti dengan larangan merokok di semua bangunan dan kawasan awam di Tapak Warisan Dunia George Town baru-baru ini.

 

Terdahulu, Afif mengadakan tinjauan di salah sebuah rangkaian Restoran Nasi Kandar Pelita dekat Taman Chai Leng.

 

Beliau memuji tindakan pemilik restoran yang tidak lagi menjual produk hasil tembakau atau rokok di premis makanan mereka.

 

“Orang datang ke restoran bukan sebab boleh merokok atau tidak tetapi untuk menikmati makanan kerana urus niaga utama restoran adakah menjual makanan dan minuman.

 

“Jadi tidak timbul kononnya terdapat kedai nasi kandar yang tidak ada pelanggan kerana tidak boleh merokok sebab syarat ditetapkan (untuk boleh merokok) adalah tiga meter dari kawasan makan,” jelasnya kepada pemberita.

 

Turut sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit JKN Pulau Pinang, Dr. Farzaana Adam dan Pengarah Eksekutif Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd., Datuk K.K Sihabutheen.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD