Keadaan pasar awam utama dan lalu lintas di SPS terkawal

JAWI – Keadaan lalu lintas dan pasar awam di Seberang Perai Selatan (SPS) kelihatan lebih terkawal pada hari ke-13 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Buletin Mutiara ke Pasar Awam Taman Berjaya, yang merupakan pasar utama bagi penduduk di SPS mendapati keadaan lebih terkawal dan jumlah pengunjung juga dilihat agak berkurangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berkata, semua pengunjung yang hadir diwajibkan untuk melakukan saringan suhu badan selain perlu mengekalkan jarak sosial satu meter antara satu sama lain.

Keadaan di dalam pasar juga agak tenang tanpa kehadiran ramai pengunjung.

“Pasar Awam Taman Berjaya adalah di bawah kategori satu iaitu pasar yang menjadi tumpuan orang ramai tetapi jika kita dapat lihat keadaan hari ini masih lagi terkawal dan jumlah pengunjung juga tidak terlalu ramai.

“Justeru, terima kasih diucapkan kepada anggota-anggota bahagian penguatkuasaan dan pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang menjalankan tugas mengawal keadaan di semua pasar awam.

“Tindakan pihak MBSP mewujudkan carta pergerakan, melakukan saringan suhu badan dan mengawal jumlah kemasukan pengunjung ke dalam pasar berjaya mengelakkan keadaan kesesakan di pasar-pasar awam di Seberang Perai,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika melakukan tinjauan di pasar awam berkenaan, pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBSP, Heng Yeh Shiuan.

Keadaan lalu lintas di persimpangan tol Jawi agak lancar berbanding hari-hari biasa sebelum ini.

Difahamkan, sebanyak 72 daripada 250 premis perniagaan di Pasar Awam Taman Berjaya masih beroperasi hari ini.

Dalam pada itu, tinjauan lalu lintas di persimpangan tol Jawi pula mendapati keadaan jalan raya kelihatan agak lengang.

“Berdasarkan maklumat yang saya perolehi daripada pihak polis yang membuat pemantauan di laluan ini mendapati kadar pematuhan pengguna jalan raya di sini adalah kira-kira 85 peratus.

“Kebanyakan pemandu kenderaan yang melalui jalan ini adalah atas urusan kerja dan hanya terdapat satu kes sahaja hari ini yang mana pemandu kenderaan diarahkan berpatah balik kerana alasan yang dikemukakan tidak munasabah.

“Malah, tidak ada sebarang tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas pemandu kenderaan yang melalui jalan ini sepanjang pelaksanaan PKP,” jelas Mooi Lye lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD