Kebajikan kanak-kanak memerlukan perhatian holistik daripada semua pihak

Admin

GEORGE TOWN – Sambutan Hari Kanak-kanak mengingatkan kita serta menuntut semua pihak untuk melihat isu kebajikan golongan tersebut secara lebih holistik dan konsisten.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada upacara sambutan petang tadi berkata, penganjuran sedemikian sebenarnya menuntut semua pihak untuk melihat hak-hak, masa depan, perlindungan dan kebajikan anak-anak secara lebih menyeluruh.

“Sebagai asas mewujudkan kesejahteraan kanak-kanak dan keharmonian generasi akan datang, ia menuntut perhatian serius daripada semua pihak kerana mereka (golongan kanak-kanak) merupakan satu daripada golongan masyarakat yang ada.

“Kedamaian bukan sahaja bermakna suasana tanpa konflik, tetapi ia harus diertikan sebagai keadilan, kesamarataan hak, peluang penyertaan bersama dan pembangunan seimbang yang mana amalannya bermula daripada asas keluarga itu sendiri.

“Cara didikan serta asuhan kian mencabar dari hari ke hari… seiring dengan kecanggihan teknologi masa kini, justeru adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk menyempurnakan pilihan dan keputusan berpaksikan kepada rasa tanggungjawab, amanah serta rasional,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2019 anjuran Majlis Perunding Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP) yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Westland dekat sini petang tadi.

Hadir menyempurnakan majlis, Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pengerusi Majlis Sambutan, Shashikant Popatial Ghatani turut sama hadir.

Sambutan berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 600 tetamu dan kanak-kanak dari tadika KEMAS, tadika Perpaduan Negeri, murid-murid pra-sekolah di bawah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP) serta penghuni rumah-rumah kebajikan dan anak yatim daripada pelbagai latar belakang, kaum serta agama.

Bagi Kerajaan Negeri pula, Kon Yeow memberitahu bahawa kepimpinan sedia ada akan memastikan segala dasar, program dan perancangan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat kebanyakan di negeri ini.

“Visi Penang2030 yang merupakan wawasan pembangunan masa depan negeri diharap dapat memberikan suatu kelainan lebih baik untuk Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri sedar bahawa kami juga bertanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif, namun aspek-aspek perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan serta eksploitasi merupakan isu-isu yang sentiasa diberi perhatian,” jelasnya sambil menyambut baik peranan serta tanggungjawab semua pihak dalam memastikan supaya hak-hak generasi masa depan terus terpelihara dan terjamin.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video: LAW SUUN TING