Kebenaran makan di premis: Pengusaha dan pemilik premis perlu patuhi 14 syarat

Admin

SEBERANG JAYA – Kebenaran makan di dalam premis atau dine-in yang dibenarkan oleh Kerajaan Negeri semalam mulai 15 Mei ini perlu mematuhi 14 syarat yang ditetapkan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, hanya tiga kategori premis makanan yang dibenarkan dine-in iaitu restoran, kafeteria atau medan selera di dalam kompleks membeli belah dan hotel serta restoran francais.

“Syarat-syarat yang ditetapkan oleh sebagaimana yang dipersetujui dalam mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuklah mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi pekerja premis berkaitan manakala pelanggan juga digalakkan dengan tegas.

“Mana-mana pengusaha atau premis makanan menggunakan khidmat pekerja asing wajib memastikan mereka menjalani ujian COVID-19 di klinik-klinik yang diakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu, pengusaha dan pemilik premis juga perlu mengawal bilangan pelanggan dan had masa termasuk menjarakkan meja dua meter denga meja yang lain.

“Amalan jarak sosial di dalam premis juga perlu dilaksanakan termasuk mewujudkan garisan (jarak sosial) satu meter pada lantai di hadapan kaunter bayaran,” katanya pada sidang media dan sesi soal jawab berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menerusi Live Facebook MBSP dekat Ruang Media, Menara Bandaraya, di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Rozali menyatakan bahawa pemilik premis juga perlu merekodkan kehadiran pelanggan bagi tujuan pengesanan kontak (contact tracing) seperti nama dan nombor telefon.

“Kita juga galakkan pengusaha dan pemilik premis supaya memuat turun aplikasi Penang Contact Tracer (PgCare) bagi memudahkan mereka mendaftarkan maklumat pelanggan-pelanggan yang datang.

“Bagi pemilik premis yang telah berdaftar dengan PgCare hanya perlu memaparkan kod QR di dalam premis masing-masing,” ujarnya lagi.

Selain itu, syarat-syarat lain adalah penggunaan pensanitasi tangan, memastikan meja sentiasa dibersihkan dengan penyembur pembersih secara lebih kerap, menggalakkan pelanggan membuat transaksi tanpa tunai serta pekerja-pekerja yang bergejala seperti demam, batuk dan selesema tidak dibenarkan masuk ke premis.

Hidangan secara buffet juga tidak dibenarkan selain memastikan tiada peralatan kutleri seperti sudu, garpu atau pisau disediakan di tempat umum dan hanya boleh diberikan oleh pekerja sahaja.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF