Kebenaran rentas daerah bantu pulihkan sektor pelancongan

Admin

KEBENARAN merentas daerah yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan pastinya memberikan khabar gembira kepada banyak pihak terutamanya mereka yang terkait dengan sektor pelancongan.

 

Presiden Persatuan Tarikan Pelancong Pulau Pinang (ATAP), CH’NG HUCK THENG antara yang menyambut baik keputusan tersebut dengan menyatakan bahawa kebenaran merentas daerah adalah suatu perkembangan positif untuk kegiatan pelancongan di negeri ini.

“Bagi pihak ATAP, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang telah menarik semula arahan larangan rentas daerah mulai 5 Mac ini.

“Langkah ini tentunya akan memberikan peluang kepada masyarakat untuk setidak-tidaknya dapat melancong di dalam negeri sekaligus memberikan sedikit harapan untuk mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan.

“Walaupun tidak begitu banyak membantu kerana perjalanan antara negeri masih lagi tidak dibenarkan, namun ini sedikit sebanyak dapat memacu sektor pelancongan domestik termasuk di Pulau Pinang,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi.

Justeru, Huck Theng berharap agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dikembalikan semula sekiranya berlaku peningkatan kes jangkitan COVID-19 pada masa akan datang sebaliknya kerajaan hanya perlu melaksanakan sekatan secara bersasar sahaja.

“Sekiranya berlaku peningkatan semula kes jangkitan COVID-19, kerajaan hanya perlu melaksanakan kawalan pergerakan bersasar mengikut daerah sahaja dan bukannya menutup sempadan negeri atau seluruh sektor ekonomi.

“Jika tidak, keadaan ini akan memberikan impak negatif yang berterusan kepada sektor pelancongan di semua negeri yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19,” ujarnya lagi.

Bagi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, SAIBI ABDUL MAJID, penarikan semula larangan merentas daerah merupakan berita baik kepada pengusaha sektor pelancongan.

“Ini adalah berita baik bagi semua pengusaha pelancongan terutamanya di Pulau Aman seperti pengusaha inap desa dan pemilik restoran yang sekian lama menyuarakan kebimbangan sekiranya PKP masih berpanjangan.

“Oleh itu, keputusan kerajaan membenarkan perjalanan rentas daerah adalah langkah prihatin agar penduduk dari daerah lain di negeri ini dapat datang ke Pulau Aman,” ulasnya.

Pada masa sama, Saibi turut mengingatkan pengusaha pelancongan khasnya di Pulau Aman agar memanfaatkan keputusan kerajaan membenarkan rentas daerah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya juga ingin mengingatkan para pengunjung supaya mengamalkan pelancongan bertanggungjawab seperti mengekalkan jarak fizikal, memakai pelitup muka, memeriksa suhu badan dan mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki mana-mana premis.

“Jika kita semua memainkan peranan dengan mematuhi SOP untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 ini, maka saya yakin pintu sempadan antarabangsa juga dapat dibuka tidak lama lagi,” tegasnya.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang (PTGA), CHIN POH CHIN pula menyifatkan arahan menarik semula perintah larangan rentas daerah adalah keputusan tepat bagi mengelakkan sektor pelancongan terus terkesan.

“Namun, kebenaran rentas daerah sahaja tidak mencukupi selagimana sekatan perjalanan antara negeri dan negara masih berkuat kuasa.

“Walaupun kami menyokong penuh semua langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memutuskan penularan pandemik COVID-19 di negara ini, tetapi pelaksanaan PKP yang berpanjangan akan merugikan banyak pihak terutama pengusaha pelancongan.

“Oleh itu, kami berharap agar Kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan untuk menarik semula larangan rentas negeri dalam kadar segera agar sektor pelancongan domestik dapat berkembang semula.

“Selain itu, kami juga berharap agar semua pengusaha pelancongan diberi keutamaan untuk menerima vaksin COVID-19 secepat mungkin kerana kami juga boleh dianggap sebagai barisan hadapan sekaligus dapat menanam keyakinan dalam kepada pelancong,” jelasnya lagi.


Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang, MOHAMAD SHAHIMI HADZRI berkata, larangan merentas daerah pada hakikatnya tidak menjejaskan perkhidmatan teksi secara langsung.

Walau bagaimanapun katanya, arahan tersebut tetap memberi kesan kepada pemandu teksi daripada segi jumlah penumpang kerana kebanyakan pemandu teksi di Pulau Pinang adalah bergantung kepada pelancong terutamanya pelancong asing.

“Di Pulau Pinang perkhidmatan teksi bergantung kepada pelancong, jadi kebenaran rentas daerah mungkin sedikit sebanyak dapat membantu pemandu teksi mendapatkan lebih ramai penumpang berbanding dalam tempoh PKP kini.

“Jadi kita amat berharap kerajaan dapat membuka semula sempadan negeri dan antarabangsa apabila penularan pandemik COVID-19 berakhir kelak kerana 90 peratus penumpang kami adalah dalam kalangan pelancongan asing.

“Pelancong domestik bukannya langsung tidak ada tetapi jumlahnya terlalu sedikit kerana biasanya rakyat Malaysia bergerak menggunakan kenderaan sendiri atau menggunakan pengangkutan awam yang lebih murah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di bahagian pulau memperlihatkan reaksi yang pelbagai mengenai PKPB yang akan dilaksanakan kelak.


Aktivis Peancongan Pulau Pinang, SYED KAMARULSUFIAN SYED KADIRON, melihat perkara tersebut sedikit sebanyak memberi nafas kepada industri pelancongan.

“Pertama sekali saya menyambut baik PKPB dan harap lokal di Pulau Pinang boleh kembali menyokong industri pelancongan.

“Pulau Pinang banya hotel bajet, inap desa dan pebagai produk pelancongan menarik, ini belum termasuk pengayuh beca, perkhidmatan ejen pelancongan, bas persiaran yang mungkin masih lagi terkesan akibat larangan rentas negeri.

“Saya harap hujung minggu ini sektor pelancongan kembali hidup apabila sekatan jalan raya di jambatan pun akan ditarik semula.

“Bagi pengusaha hotel janganlah ambil kesempatan, buatlah promosi untuk tarik pengunjung, jangan naikkan harga, agar situasi menang-menang dapat diwujudkan antara pemain industri dan rakyat negeri ini,” ujar beliau ketika ditemui di Lebuh Aremenian pagi ini.


Sementara ini Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Raj Kumar merangkap Pengurus Besar Hotel The Light berpendapat PKPB tidak banyak membantu industri perhotelan.

“Saya rasa tidak banyak kerana ia cuma melibatkan rentas daerah, kebanyakkan sektor pelancongan dihidupkan orang dari luar negeri.

“Tetapi lebih baik ada dari tidak ada apa-apa, pengunjung boleh melancong dalam negeri sahaja,” ujarnya yang ditemubual melalui telefon.


Pemilik kedai jus Fruitmade, SIM KUANG LIM berharap PKPB mampu memberi sedikit sinar berbanding PKP.

“Sekurang-kurangnya PKPB lebih dari PKP. Pelanggan saya memang banyak dari luar pulau seperti dari Butterworth, Kedah dan Perak.

“Saya harap kedai-kedai lain sekitar kawasan Tapak Warisan Dunia George Town turut akan beroperasi untuk lebih mendapat sambutan,” ujarnya yang sudah empat tahun berniaga di Lebuh Cannon.


Peniaga kacang di puncak Bukit Bendera A. SATHIVEL terpaksa memulakan perniagaan kacangnya di Lebuh Cannon sejak November lalu bagi menyara keluarganya.

“Berikutan pandemik COVID-19 dan PKP 18 Mac 2020, pendapatan merudum dan tidak menentu. Apabila PKP pelancong tidak boleh naik, pendaki pun tidak boleh naik, jadi kawan saya panggil untuk berniaga di sini (Lebuh Cannon).

“Saya tidak mahu lagi PKP, kita semua perlu jaga prosedur operasi standard (SOP), bila PKPB Bukit Bendera saya jangka akan buka semula jadi harap pelancong pendaki dapat bantu kami semula.

“Selain itu saya ingin merakamkan penghargaan kepda Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang menyarlurkan pelbagai bantuan kepada para peniaga yang terjejas berikutan PKP,” jelas beliau yang menyambung legasi ketiga perniagaan keluarganya.

Setelah menutup premis selama sebulan, SOO KUAN MENG, kembali memulakan perniagaan kopi beliau di Lebuh Armenian.

Katanya, walaupun PKPB membenarkan rentas daerah, beliau tidak melihat perkara tersebut mampu menarik lebih ramai pelancong.

“Sebelum ini banyak bergantung kepada pelancong luar Penang dan luar negara.

“Bagaimanapun saya harap hujung minggu ini mampu ada keajaiban di George Town,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF & WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH & DARWINA MOHD. DAUD