Papan iklan haram terus diburu

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kini giat menjalankan operasi membersihkan Pulau Pinang dari papan iklan haram tidak berlesen dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan di sekitar negeri ini.

Operasi tersebut adalah ekoran tamatnya tempoh pemutihan selama enam bulan bermula Jun hingga Disember tahun lepas termasuk tempoh kelonggaran dari Januari hingga akhir Februari lalu yang diberikan kepada semua pengusaha papan iklan.

Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong berkata, papan iklan yang diturunkan Mac lalu di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu adalah haram kerana tidak mengikut spesifikasi saiz 20 kaki x 60 kaki sebagaimana dibenarkan pihak Majlis dan kos tersebut bakal ditanggung pemilik papan iklan terbabit.

“Papan iklan ini diturunkan kerana saiznya yang terlalu besar iaitu 40 kaki x 60 kaki, melebihi saiz dibenarkan,” katanya pada Operasi Membersihkan Papan Iklan Haram di sini baru-baru ini.

Sebelum tindakan menurunkan papan iklan terbabit, menurut Ah Teong, MPPP telah berjumpa dengan pemilik papan iklan terbabit dan memaklumkan secara lisan bahawa ia (papan iklan) tidak mengikut spesifikasi saiz ditetapkan.

“Lanjutan itu, MPPP telah memberi notis selama seminggu bermula 9 Mac hingga 18 Mac lalu untuk pihak terbabit menurunkan papan iklan tersebut, namun, tiada sebarang tindakan diambil,’’ jelasnya.

Tambah beliau, pembinaan papan iklan melebihi saiz adalah berbahaya dan boleh mendatangkan sebarang kemungkinan buruk kepada pengguna jalanraya.

“MPPP akan terus mempergiatkan operasi ini bagi membanteras papan iklan haram di seluruh pulau termasuk menampal notis makluman papan iklan haram di sini,’’ ujar Ah Teong.