Kecualikan projek pembesaran PIA daripada kajian NASP – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berharap agar rancangan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dikecualikan daripada kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang dijangka hanya selesai pada tahun 2023.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa rancangan projek pembesaran itu sepatutnya diteruskan memandangkan kebenaran merancang telah diluluskan dan dijadualkan dilaksanakan pada tahun ini.

 

CHOW Kon Yeow menunjukkan dua laporan bertulis yang diterima daripada Malaysia Airports Holdings Berhad awal tahun ini.

“Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) telah menerima dua laporan bertulis daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) iaitu pada 30 Januari 2020 dan 9 Mac 2020.

 

“(Dan) melalui laporan ini, MAHB telah meluluskan lantikan perunding, CPG (Consultants Pte. Ltd.) dan AHS (Architects Sdn. Bhd.) pada 15 Februari 2019 untuk projek pembesaran PIA (bagi meningkatkan kapasiti penumpang) kepada 12 juta penumpang setahun (mppa).

 

“Manakala pada Ogos 2019, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah meluluskan pelaksanaan projek pembesaran lapangan terbang dengan kapasiti 12 mppa dan kajian ruang udara bagi wilayah Utara.

 

KAPASITI Lapangan Terbangan Antarabangsa Pulau Pinang kini hanya mampu menampung sehingga 6 juta penumpang setahun (mppa) sahaja sedangkan jumlah ketibaan penumpang menghampiri 8.5 mppa.

“Selain itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut memaklumkan bahawa kebenaran merancang telah diluluskan dan kini berada pada tahap lantikan kontraktor,” ujarnya pada sidang media di Komtar tengah hari ini.

 

Mengulas lanjut Kon Yeow yang juga Exco Pengangkutan menyatakan bahawa semasa di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), projek pembesaran PIA ini tidak pernah dibatalkan mahupun ditangguhkan sebaliknya diteruskan mengikut jadual.

 

“Namun, baru-baru ini, Menteri Pengangkutan memutuskan bahawa semua projek lapangan terbang sama ada projek baru mahupun naik taraf tidak akan dipertimbangkan kerana pihak kementerian bakal menjalankan kajian NASP yang dijangka siap pada tahun 2023.

 

“Hanya selepas tempoh itu barulah pihak kementerian akan menerima sebarang cadangan, iaitu setelah keputusan kajian dikeluarkan.

 

“Namun, bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita telah menetapkan pendirian untuk melaksanakan projek (pembesaran) itu mengikut jadual dan berharap ia dapat dikecualikan daripada kajian (NASP),” katanya.

 

Sebelum ini, menurut Kon Yeow, pihak MOT memberikan alasan bahawa penularan pandemik COVID-19 telah mempengaruhi industri pelancongan dan penerbangan negara, maka projek pembesaran PIA dapat ditangguhkan sementara.

 

“Sekarang ini, isu kajian (NASP) pula.

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membantah pelaksanaan kajian NASP sebaliknya hanya berharap projek pembesaran dapat diteruskan dan dikecualikan daripada kajian berkaitan,” tegasnya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD