BERPENGALAMAN sejak tahun 1971 dalam bidang optometri, pemilik Super Bright Watch & Optical Co., NICKALAS KULANDIASAMY, merupakan antara penyewa terawal di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang kini berusia hampir 40 tahun.
Ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI, Kulandiasamy menceritakan bahawa beliau mula berkecimpung dalam bidang tersebut sebagai pekerja di salah sebuah kedai cermin mata di George Town.

“Pada 1989 barulah saya menjadi pemilik di sini. Sebelum itu saya berkongsi perniagaan, tetapi sejak 1971 memang sudah bekerja di kedai cermin mata.
“Dari situlah saya belajar mengenai cermin mata, dan apabila Komtar dibuka sebagai pusat beli-belah baharu, saya mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan di sini,” ujarnya yang masih bertenaga melayan pelanggan pada usia 73 tahun.

Menyentuh mengenai operasi kedainya, beliau memaklumkan bahawa perniagaannya masih dijalankan secara tradisional.
“Tradisional yang dimaksudkan adalah tanpa menggunakan sebarang platform dalam talian atau media sosial untuk tujuan promosi.
“Saya akui perniagaan agak berkurangan sejak pasca COVID-19, namun, harga yang saya tawarkan masih murah dan mungkin itu menjadi faktor saya masih mampu bertahan.
“Kedua, saya ada pelanggan tetap. Kadang-kadang mereka bertanya, betulkah harga begini? Saya jawab betul, kerana ia memang harga patut,” katanya yang menetap di Air Itam.
Ketika beroperasi pada tahun 1980-an, Kulandiasamy memberitahu bahawa hanya terdapat sekitar sembilan kedai cermin mata di kawasan pulau dan mereka saling mengenali.
Menurutnya, sehingga era 1990-an, saingan juga tidak banyak berbanding keadaan sekarang.
“Sekarang pergi ke mana-mana pun ada kedai cermin mata, tambahan pula kompleks beli-belah semakin banyak.
“Tetapi saya masih bertahan kerana kepercayaan pelanggan dan harga yang saya tawarkan,” jelasnya.
Selain itu, Kulandiasamy turut bermurah hati menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada sekolah-sekolah yang memerlukan khidmatnya.
“Mereka datang berbincang dengan saya dan saya bantu pelajar-pelajar.
“Biasanya saya membantu pelajar sekolah rendah,” ujar ayah kepada dua cahaya mata itu.
Menutup bicara, Buletin Mutiara bertanyakan tentang legasi perniagaan tersebut dan beliau memaklumkan bahawa anaknya sudah bersedia untuk mengambil alih.
“Anak pertama saya mempunyai kelulusan dalam bidang berkaitan mata, cuma ketika ini dia lebih berminat menjadi pakar motivasi.
“Apabila tiba masanya, dia akan meneruskan perniagaan ini.
“Buat masa sekarang, hanya kami bertiga iaitu saya, isteri dan adik yang membantu menguruskan premis ini,” katanya.