Kegigihan bapa kepada dua anak autisme beli rumah dapat perhatian ADUN Batu Uban

A. Kumaresan (kanan sekali) dalam sidang media berkaitan bersama-sama keluarga Syed Umar Sultan Khan di Pusat Khidmat ADUN Batu Uban di sini pada 18 Januari 2023.

BATU UBAN – Kegigihan seorang bapa kepada dua anak ‘istimewa’ untuk membeli seunit rumah Kos Rendah (KR) bernilai RM42,000 yang ditawarkan oleh bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan.

SYED Umar Sultan Khan

Syed Umar Rasul Khan, 50, memberitahu bahawa beliau mempunyai dua anak autisme iaitu Muhammad Aslam Syed Umar, 12, dan Nur Siti Balqis Syed Umar, 11, hasil perkahwinannya dengan Salma Dadaper, 36.

“Oleh kerana isteri saya adalah warganegara India, maka beliau hanya boleh menjaga kedua-dua anak kami di rumah sahaja sementara urusan rawatan berkaitan anak-anak di hospital diuruskan oleh saya sendiri.

“Sejak beberapa tahun lepas, saya disahkan menghidap sakit jantung dan perlu makan ubat sejak dua tahun lepas, jadi saya sendiri tidak boleh buat kerja-kerja berat bagi menyara keluarga.

“Mujur lah saya mendapat sumbangan berjumlah RM1,000 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM400 daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

“Kira-kira RM1,400 bantuan bulanan itu adalah tidak cukup untuk memenuhi kos sara hidup sekeluarga termasuk keperluan rawatannya dan anak-anak.

“Keadaan saya hari ini tidak lagi seperti dahulu, jadi saya sedang berusaha untuk memiliki rumah sendiri untuk tempat keluarga berteduh,” jelas Syed Umar kepada Buletin Mutiara di Pusat Khidmat ADUN Batu Maung di sini pada 18 Januari 2023.

A. Kumaresan

Bercakap pada sidang media sama, Kumaresan memberitahu bahawa kira-kira enam bulan lepas Syed Umar ada berkunjung ke Pusat Khidmatnya dan menyatakan hasrat untuk memiliki unit kediaman pertama.

Melihat keadaan isteri dan kedua-dua anak autisme berkenaan, Kumaresan berkata beliau berusaha membantu Syed Umar memohon untuk membeli sebuah unit rumah kos rendah.

“Selepas lima hingga enam bulan saya membuat permohonan berkaitan sebelum ini, terima kasih Kerajaan Negeri terutama SPEC (Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan) kerana telah menerima permohonan Syed Umar.

“Pada pagi ini, beliau (Syed Umar) sekali lagi datang ke Pusat Khidmat ADUN Batu Maung untuk memohon bantuan, dan saya telah memohon tempoh masa lanjut selama tiga bulan lagi daripada Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk Syed Umar berusaha mendapatkan sejumlah wang untuk membeli unit kediaman kos rendah di Pangsapuri Idaman Prestij dekat Kawasan Parlimen Balik Pulau.

“Saya berharap beliau (Syed Umar) berjaya mendapatkan permohonan pinjaman perumahan daripada bank-bank berkenaan.

“Saya juga berharap sempena Tahun Baru Cina, rakyat Malaysia yang begitu perhatian dapat bersama-sama memberi sumbangan bantuan kepada keluarga Syed Umar untuk memiliki rumah pertama mereka.

“Beliau (Syed Umar) ada duit simpanan kira-kira RM5,000 dan dalam tempoh tiga bulan ini dan memerlukan hampir RM40,000 untuk memastikan unit KR yang ditawarkan ini tidak ‘terlepas’ kepada pihak lain,” jelasnya lagi.

Seberang sumbangan berwajib, menurutnya lagi, boleh dibuat atas penama Persatuan Sahabat Prihatin Pulau Pinang di Maybank (Nombor akaun:557429053427) dan Whatsaap gambar resit transaksi bank berkaitan kepada nombor talian 017 277 0388 untuk rekod lanjut.