Kehadiran najis tikus dan lipas, premis makanan diarah tutup serta merta 

 

GEORGE TOWN – Sebuah premis di Jalan Perak dekat persimpangan Lintang Slim diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari berkuatkuasa hari ini.

Notis penutupan tersebut dikeluarkan mengikut Undang-undang Kecil 38 (1) Establisymen Makanan MPPP 1991 setelah pegawai dari Bahagian Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati kehadiran najis tikus dan lipas di premis terbabit.

Menurut Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Kanan) MBPP, Goh Eng Chun, hasil pemeriksaan yang dijalankan Bahagian Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati terdapat kehadiran najis tikus dan lipas di premis berkenaan.

“Hari ini kita buat tindakan pemeriksaan kebersihan premis, kedai ini kita dah check dan dapati ada kehadiran najis tikus dan lipas.

“Jadi di bawah berkenaan, kita (MBPP) boleh mengarahkan premis ditutup selama 14 hari untuk kerja-kerja pembersihan dan baik pulih.

“Sekiranya pemilik premis telah membersihkan premisnya, pemeriksaan kali kedua akan dijalankan Majlis dan kebenaran untuk beroperasi semula hanya akan dikeluarkan setelah pihak MBPP berpuas hati…itupun dalam tempoh tiga hari,” ujarnya kepada pemberita.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Bahagian Kesihatan Persekitaran MBPP, Sumardi Yazid.

Tambah Eng Chun, sejak diberikan kuasa untuk menutup premis makanan kotor pada 1 November lalu, MBPP telah mengambil tindakan sama kepada 11 premis.

“Justeru, kita ingin menasihatkan kepada semua pemilik-pemilik premis makanan di negeri ini memberikan keutamaan kepada aspek kebersihan bagi mengelakkan kes keracunan makanan,” ujarnya lanjut.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI