Kejayaan EQX Materials wajar dicontohi syarikat PKS lain

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

BATU KAWAN – Kejayaan pembukaan bangunan pejabat baru seluas 1.5 ekar syarikat pembekalan semikonduktor, bahan solar kimia perindustrian dan bahan-bahan pembinaan bangunan generasi baru, EQX Materials Sdn. Bhd. (EQX Materials) di Penang Science Park di sini wajar dicontohi syarikat Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) lain.

Kenyataan tersebut dinyatakan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang mewakili Ketua Menteri ke majlis perasmian bangunan tersebut baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Mohd. Rashid memberitahu bahawa beliau difahamkan bahawa syarikat terbabit kini telah berkembang menjadi sebuah syarikat serantau yang mempunyai pejabat pemasaran dan rantaian pembekalan di Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar, Hong Kong, China, Taiwan, Bangladesh, India serta Emiriah Arab Bersatu.

“Kerajaan Negeri amat berbangga dengan kejayaan dikecapi syarikat ini dan berharap agar lebih banyak syarikat PKS lain dapat mengikut jejak langkah mereka,” ujar beliau.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani, Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai. MPSP), Roland Choong Tae Kwon (Pengarah Urusan EQX Materials Sdn. Bhd.) dan Kimikazu Ichikawa (Pengarah Urusan AGC Asia Pacific).

Tambah Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, pembinaan pejabat baru EQX Materials adalah di atas platform disediakan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan kehadiran mana-mana pelaburan bona fide yang boleh menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial negeri dan rakyat di Pulau Pinang.

“Tambahan, kita sentiasa menyokong penuh syarikat-syarikat yang beroperasi selari dengan polisi hijau Kerajaan Negeri seperti dilakukan EQX Materials,” jelas Mohd. Rashid.