Kejayaan, keberkesanan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca terletak pada bahu semua pihak

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

PAYA TERUBONG – Anggapan bahawa kejayaan dan keberkesanan sesuatu kempen terletak pada bahu pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja adalah tidak tepat kerana komitmen dan kerjasama semua pihak, terutama penduduk setempat adalah amat diperlukan untuk merealisasikannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin berkata, dalam menjayakan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di Pulau Pinang, terutamanya di kawasan perumahan pangsa atau berstrata tinggi, pihak pengurusan menjadi tulang belakang.

“Pihak pengurusan terutamanya perlu melaksanakan promosi berterusan dalam menggalakkan penduduk setempat mengamalkan pengasingan sisa di punca di kediaman masing-masing.

“Kejayaan dan keberkesanan sesuatu kempen atau dasar kerajaan itu adalah bergantung kepada kerjasama semua pihak terutama penduduk setempat.

“Oleh itu, suka saya sarankan supaya penduduk setempat dapat memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan dasar ini,” ujarnya ketika hadir merasmikan program pengasingan sisa di punca di Blok 4E, Farlim dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sr. Nik Ariff Long Dir; Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Unit Tindakan Khas), Mohd. Zamzuri Hussaiin; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Semarak Api, Toon Hoon Lee dan Pengerusi Penang Natural Green Organisation (PNGO), S.K Chong.

Selain sesi penerangan, turut diadakan adalah perasmian tong pengasingan sisa yang diletakkan bersebelahan Dewan Komuniti blok berkaitan.