Kejayaan pelaksanaan dan pembangunan PTMP jadi cabaran buat PDC

Admin

PANTAI JEREJAK – Kejayaan pelaksanaan dan pembangunan Penang Transport Master Plan (PTMP) yang merupakan projek penting buat negeri kini menjadi tanggungjawab besar yang perlu digalas Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk tempoh 50 tahun akan datang.

Sempena penubuhan PDC yang ke-50 tahun ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Perbadanan berkenaan terus memacu pembangunan negeri dan menyahut cabaran untuk merealisasikan kejayaan projek PTMP.

“Kerajaan Negeri kini sedang berusaha melaksanakan projek penting iaitu PTMP melalui pembinaan lebuh raya, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan juga tebus guna tanah seluas 4,500 hektar.

“(PTMP) ini adalah tiga kali ganda lebih besar daripada apa yang telah dilakukan PDC sepanjang 50 tahun (sebelum) ini.

“Seperti yang diketahui umum, saya belum berikan apa-apa tanggungjawab besar kepada PDC untuk dilaksanakan, dan… sempena ulang tahun yang ke-50 ini, saya menyeru PDC untuk bersama-sama Kerajaan Negeri bagi membangunkan 4,500 hektar tanah ini demi masa depan Pulau Pinang,” ujarnya ketika berkongsi harapan dengan kira-kira 300 warga PDC ketika Majlis Pelancaran Program-program Sempena Sambutan Ulang Tahun PDC Yang Ke-50 di sini pagi ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Pengurus Besar PDC, Mohd. Bazid Abd. Kahar dan mantan Pengurus Besar PDC yang pertama, Dato’ Seri Chet Singh.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa kejayaan merealisasikan PTMP adalah cabaran utama buat Kerajaan Negeri dan juga PDC kini.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap PDC dapat menyahut cabaran ini untuk mengisi 50 tahun akan datang dengan perancangan baharu, pembangunan berkualiti serta mampan yang dapat mengimbangkan agenda ekonomi dan alam sekitar yang lestari,” jelasnya.

PDC yang meraikan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 Tahun ditubuhkan pada 17 November 1969 dan telah diperbadankan di bawah Enakmen 1971. Sepanjang tempoh tersebut, ia telah diterajui dengan cekapnya oleh empat Ketua Menteri.

Menelusuri sejarah kejayaan PDC, Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC menyatakan bahawa sekitar tahun 70-an, ketika Bayan Lepas diisytiharkan sebagai Zon Perdagangan Bebas (FTZ) yang pertama di dalam negara, PDC adalah agensi bertanggungjawab melaksanakannya.

“Bayan Lepas FTZ telah dibangunkan daripada kawasan sawah padi, ladang kelapa dan getah yang luas menjadi kawasan tumpuan lapan ‘samurai’ (Intel, AMD, Hewlett-Packard, Clarion, National Semiconductor, Hitachi, Litronix dan Robert Bosch) menubuhkan pengkalan pembuatannya hingga membawa ekonomi Pulau Pinang kepada trajektori lebih tinggi, pengangguran diatasi dan mewujudkan permintaan perumahan.

“Tuntas, PDC telah membina perumahan kediaman pertamanya di Kampung Jawa, Bayan Baru dan terus memainkan peranannya dalam pembangunan bandar baharu seperti Bandar Bayan Baru pada tahun 1975, Bagan Serai yang kini dikenali sebagai Bandar Seberang Jaya (1976) dan terbaru Batu Kawan bakal menjadi bandar ketiganya.

“Selain kediaman dan perindustrian, pada tahun 1974, ia telah menerokai pembangunan semula George Town dengan projek yang paling menyerlah iaitu Komtar yang menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri kini,” ulasnya.

Bersempena dengan slogan sambutan ulang tahunnya iaitu ‘Spearheading Growth’, PDC bakal melaksanakan pelbagai program termasuk penanaman pokok di Jalan Cassia Barat 2, kempen derma darah, fun walk, sukan, penjenamaan semula PDC serta pelbagai lagi diikuti acara kemuncak Majlis Makan Malam Tahunan PDC.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI