Kejayaan Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang wajar dijadikan contoh – Datuk Bandar MBSP

SUNGAI PUYU – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memuji perana aktif dimainkan oleh jawatankuasa Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang dalam menjalankan aktiviti Pendidikan berkaitan program kitar semula.

Katanya, program-program yang dijalankan di pusat berkenaan mampu menyemai rasa tanggungjawab serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Difahamkan, Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang berjaya mengumpul dana sebanyak RM5,000 hasil daripada kutipan dan jualan barangan kitar semula untuk disumbangkan kepada lima pertubuhan sukarelawan.

Antara gerai jualan produk kraftangan yang dihasilkan menggunakan barangan kitar semula sempena Karnival Sisar Sifar dekat Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang, semalam.

“Selain itu, ‘Growth Community Market’ yang diwujudkan di pusat ini membolehkan sayur-sayuran organik serta produk-produk kraftangan yang dihasilkan oleh komuniti setempat dapat dipasarkan.

“Usaha ini dilihat mampu menjadi platform yang baik bagi menggalakkan pembangunan ekonomi setempat terutama dalam aspek tanaman semula jadi selain dapat mengurangkan kesan jejak karbon.

“Justeru, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk Taman Bagan Lalang kerana menyokong semua inisiatif dilaksanakan oleh MBSP dan diharapkan usaha kelestarian hijau ini dapat dijadikan contoh kepada komuniti-komuniti di Seberang Perai,” katanya semasa merasmikan Karnival Sisa Sifar Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekita, Phee Boon Poh; ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Pengerusi Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Sisa Sifar, Lim Chee Keong serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Rozali menyeru agar lebih banyak kawasan perkampungan dan taman-taman perumahan di Seberang Perai mewujudkan pusat sumber alam sekitar atau pusat kitar semula sebagai usaha untuk mencapai sasaran bandar raya rendah karbon menjelang 2022.

“Buat masa ini, terdapat enam pusat sumber ala sekitar atau pusat kejiranan ditubuhkan di seluruh Seberang Perai yang menjalankan kegiatan berkaitan kitar semula, pendidikan alam sekitar, pengkomposan serta kebun kejiranan.

Lima pertubuhan sukaralewan menerima sumbangan dana keseluruhan sebanyak RM5,000 yang berjaya dikumpul oleh Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang.

“Diharapkan seluruh komuniti dapat terus bersama-sama MBSP dalam menjadikan Seberang Perai lebih bersih dan indah serta sihat sejajar dengan cogan kata “Seberang Perai Aspirasi Bandar Masa Depan”,” ujarnya lagi.

Selain pameran hijau, karnival tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk zumba, bengkel, kebuh kejiranan, jualan sayuran organik dan produk kitar semula, persembahan pentas dan sebagainya.

Sementara itu, Lip Chee dalam ucapannya sebelum itu mencadangkan supaya program kitar semula dapat dijadikan sebagai slaah satu silibus dalam mata pelajaran di sekolah-sekolah di negara ini.

“Kita boleh mulakan dengan memasukkan satu topik di bawah pengasingan sisa pepejal mulai dari sekolah rendah kerana perkara ini amat penting untuk memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar,” cadangnya.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF