Kejayaan usahawanita biskut wajar dijadikan contoh, kata ADUN

Admin

BATU UBAN – Kejayaan usahawanita biskut, Ani Eusoff wajar dijadikan contoh kepada masyarakat setempat untuk menceburi bidang keusahawanan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) A. Kumaresan.

Beliau berkata, lebih kurang setengah juta bekalan biskut raya berjaya dihasilkan oleh usahawanita berkenaan pada tahun ini yang diedarkan melalui 74 stokis di seluruh negeri.

“Saya berasa amat gembira dengan pencapaian Puan Ani dan kita (KADUN Batu Uban) perlu tampilkan kejayaan beliau kerana usaha kecil-kecilan dahulunya kini berjaya membuahkan hasil.

Kedai dan tempat pemprosesan biskut milik Ani Eusoff dekat KADUN Batu Uban.

“Pada awalnya saya sangat terkejut ketika mengunjungi rumah beliau yang merupakan tempat membakar biskut raya kerana semua ruang dipenuhi dengan kuih raya.

“Paling menarik, Puan Ani menggaji pekerja yang kebanyakannya adalah orang-orang kampung, suri rumah dan ibu tunggal supaya usaha ini dapat memberikan peluang kepada mereka untuk mendapatkan ‘duit poket,” katanya semasa mengadakan lawatan di Animusa Cookies pada 18 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Kumaresan juga memberitahu bahawa beliau juga akan cuba mendapatkan status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta bangunan yang lebih besar untuk menampung bekalan biskut raya dan ruang bagi pekerja untuk kerja-kerja pemprosesan.

“Saya juga berhasrat mahu membantu beliau untuk menjalankan perniagaan dalam talian bagi mengembangkan lagi perniagaan ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Ani Eusoff ketika ditemui Buletin Mutiara berharap agar Kumaresan dapat membantu beliau dalam usaha untuk memajukan lagi perniagaan beliau.

Teks & Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN