Kejohanan Pickleball Piala Ketua Menteri 2026 catat peningkatan penyertaan

Admin
0835e2f9 145f 4383 ae90 440c629f3630

GEORGE TOWN – Seramai 480 pemain bakal menyertai Kejohanan Pickleball Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 Ogos ini di Pickle By The Sea, Persiaran Gurney.

Kejohanan anjuran Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Padang Kota bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu menyaksikan peningkatan penyertaan berbanding sekitar 380 pemain pada edisi 2025.

Menurut kenyataan media Jawatankuasa Penganjur Kejohanan, peningkatan tersebut mencerminkan sambutan yang semakin menggalakkan terhadap sukan pickleball dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan, iaitu Novice Women’s Doubles, Novice Mixed Doubles, Novice Men’s Doubles Pool A, Novice Men’s Doubles Pool B, Senior Doubles (Open Gender), Open Men’s Doubles, Open Women’s Doubles dan Open Mixed Doubles.

Kategori Novice Men’s Doubles menerima penyertaan tertinggi dengan 80 pasangan sehingga perlu dibahagikan kepada Pool A dan Pool B, masing-masing melibatkan 40 pasangan.

Bagi kategori Open, juara setiap kategori bakal menerima hadiah wang tunai RM3,200, diikuti RM1,600, RM800 dan RM400 bagi tempat kedua hingga keempat.

Kategori Novice dan Senior pula menawarkan hadiah RM1,600, RM800, RM400 dan RM200, manakala setiap Pool Novice Men’s Doubles menawarkan hadiah RM2,000, RM1,000, RM500 dan RM250.

90c50831 0af0 40f4 94b4 e25f45d7e0c0

Difahamkan, selain pertandingan, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah kepada para peserta, termasuk satu hadiah cabutan bertuah khas yang dibuka kepada orang awam, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Penganjur Kejohanan merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan kerjasama yang menyokong kejohanan berkenaan, termasuk redONE Network Sdn. Bhd., Technovation Consulting Sdn. Bhd., Pickle By The Sea, Sports We Play, FILA Malaysia, Proton Penang Team, Solar Wise Energy Sdn. Bhd., UWC Berhad, Zhongshi Chemical Engineering Construction (Malaysia) Sdn. Bhd., Franklin, G Hotel, Daily Recipe Industries (M) Sdn. Bhd., MATCHAMELIER, Etika Sdn. Bhd., Teong Huat Medical Sdn. Bhd., BTS Academy serta Persatuan Bantuan Kecemasan Bukit Mertajam Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu lagi, sokongan sektor korporat, komuniti dan rakan strategik penting dalam memperkasakan pembangunan sukan pickleball, selain menggalakkan pembudayaan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat.

Majlis penutupan kejohanan dijadualkan berlangsung pada 23 Ogos 2026, jam 3 petang di lokasi sama, yang turut menyaksikan perlawanan akhir, cabutan bertuah, penyampaian hadiah kepada pemenang serta sesi bergambar berkumpulan.

Penganjuran kejohanan ini diharap dapat menyediakan platform pertandingan yang kompetitif kepada pemain, selain memperluas penyertaan masyarakat dalam sukan pickleball di Pulau Pinang.