Kekal sihat, jom sertai Penang Steps Up!

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Bahagian Belia Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC YES) bakal menganjur Penang Steps Up! iaitu acara berjalan kaki, berlari dan berbasikal secara maya.

Program tersebut bakal berlangsung selama 14 hari bermula dari 7 hingga 20 Julai 2021 bersempena sambutan Hari Bandar Warisan Dunia George Town.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, penganjuran program ini adalah untuk mempertingkatkan tahap kesihatan dan imun badan masyarakat terutamanya pada tempoh penularan pandemik COVID-19 kini.

Jelasnya, objektif Penang Steps Up! adalah untuk mencapai 168 juta langkah dan 28,000 kilometer (km) jarak berbasikal dalam tempoh penganjuran.

“Penganjuran acara ini bertujuan menyatukan semua masyarakat, khususnya warga Pulau Pinang melalui aktiviti berjalan, berlari dan berbasikal di mana peserta boleh melakukan aktiviti-aktiviti ini di mana dan pada bila-bila masa sahaja mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak kerajaan.

“Namun sila ambil perhatian bahawa pelaksanaan bagi kategori berbasikal adalah bergantung kepada SOP Covid-19 jika dibenarkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) kelak.

“Para peserta hanya perlu berdaftar dengan muat turun aplikasi BiiB dan menyelaraskan (sync) bilangan langkah atau jarak berbasikal mereka di aplikasi Google Fit atau Apple Health dalam telefon pintar dengan aplikasi BiiB,” ujarnya pada sidang media Penang Steps Up! berkenaan tadi pagi.

Difahamkan sehingga kini lebih 1,500 peserta telah berdaftar dan pihak penganjur menjangkakan kira-kira 3,000 peserta bakal memeriahkan acara penganjuran secara maya ini.

Hadir sama, Pengerusi PCCC YES, Lee Toong Leong dan Ketua Biro Sukan PCCC YES merangkap Pengerusi Penganjur Acara, David Tan Wee Hua.

槟中总青商团团长李炯良。

Toong Leong memaklumkan bahawa selain e-sijil yang akan diberikan kepada para peserta, mereka juga berpeluang untuk merebut pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik sepanjang tempoh acara berlangsung.

“10 pemenang bertuah harian akan dipilih, manakala Grand Lucky Draw akan diadakan pada hari akhir acara iaitu 20 Julai 2021.

“Namun, diingatkan bahawa hanya peserta yang telah berdaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera layak untuk menyertai sesi cabutan bertuah,” jelas beliau.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Penang Steps Up! boleh layari lama Facebook dan Instagram rasmi MBPP dan PCCC YES atau sila hubungi urus setia melalui e-mel
[email protected].

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF