Kekalkan produktiviti sungguhpun semasa pandemik – Datuk Bandar MBSP

Admin
GIMIK acara perasmian Signage Nudges #penangproduktif di hadapan Menara Bandaraya di sini pada lewat petang tadi.

 

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan terus menerapkan pendekatan pemahaman tingkah laku (behavioral insight) demi memastikan tadbir urus pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan kekal berada pada tahap produktif.

Justeru Datuk Bandar MBSP, Sr. Rozali Mohamud menyeru seluruh penduduk Seberang Perai untuk terus mengekalkan produktiviti masing-masing sungguhpun bandar raya tersebut semasa ini mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Melalui pendekatan ‘behavioral insight’ yang kita (MBSP) belajar daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), kemuncaknya adalah acara pelancaran pada malam ini iaitu tanda pagar #penangproduktif, dengan mesej seluruh penduduk Seberang Perai diseru agar terus produktif walaupun dalam keadaan mengharungi pandemik COVID-19 ini,” jelasnya.

SR. Rozali Mohamud (kiri) bersama-sama Dr Mazrina Mohamed Ibramsah semasa sesi ucapan di sini tadi,.

Sejak PKP kali pertama pada Mac 2020, Rozali memberitahu bahawa pentadbirannya berjaya melaksanakan beberapa ‘behavioral insight’ seperti penubuhan pasukan ‘Tanya Saya’ bagi membantu penggunaan perkhidmatan pintar MBSPPay.

Selain itu, beliau berkata, MBSP juga telah membuka kaunter khusus (Cyber Counter Corner) bagi melatih orang awam menggunakan pelbagai perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan menerusi ‘Cyber Counter’.

“Kita (MPSP) juga menubuhkan Seberang Perai City Channel (SPCC) sebagai saluran media untuk menyampaikan maklumat terkini (secara dalam talian)…juga Scan Park and Pay untuk memudahkan bayaran cukai taksiran melalui ‘online’ tanpa perlu turun daripada kenderaan yang dilancarkan pada 16 Februari 2021.

“Semua program yang dilancarkan ini adalah bentuk behavioral insight dengan matlamat utama iaitu meningkatkan penyertaan rakyat untuk menambah baik perkhidmatan penyampaian kepada mereka (rakyat),” jelasnya lagi.

SIGNAGE Nudges #penangproduktif menjadi simbol usaha sama antara MBSP dan MPC ke arah mengekalkan produktiviti negara di bahagian tanah besar Seberang Perai.

Selepas menyampaikan ucapan ringkas tersebut, Rozali bersama-sama Pengarah MPC Wilayah Utara, Dr Mazrina Mohamed Ibramsah; dengan diiringi Ir. Rosnani Mahmod (Setiausaha Bandaraya MBSP) serta beberapa Ahli Majlis lain menyempurnakan acara perasmian Signage Nudges #penangproduktif di hadapan Menara Bandaraya di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB