Kekalkan tradisi anjur rumah terbuka Aidilfitri, platform kukuhkan perpaduan kaum – Ketua Menteri

Admin
31a5a7d6 e399 4f6e bf72 0a0239f708c3 KETUA Menteri menyampaikan ucapan dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Tanjong di sini pada 12 April 2026.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyifatkan penganjuran majlis rumah terbuka sempena perayaan utama sebagai platform penting dalam memperkukuh semangat muhibah dan menyatukan rakyat berbilang kaum di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, meskipun terdapat saranan daripada peringkat Persekutuan agar sambutan Aidilfitri dilaksanakan secara sederhana, namun tradisi menghimpunkan rakyat melalui majlis sedemikian tetap mempunyai nilai yang signifikan bagi masyarakat setempat.

Di sebalik penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri, beliau menyatakan pendirian Pihak Berkuasa Negeri adalah jelas dalam mengekalkan tradisi selain sebagai jambatan perpaduan.

“Kita berasa ia (Rumah Terbuka Aidilfitri) adalah suatu platform, sama seperti perayaan utama lain, yang menjadi tradisi penting bagi menghimpunkan rakyat berbilang kaum di satu tempat di samping memupuk semangat muhibah,” ujarnya semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Tanjong di sini pada 12 April 2026.

Mengulas lanjut mengenai landskap ekonomi semasa, Kon Yeow turut menyentuh usaha gigih Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim yang kini sedang memperhebat diplomasi di peringkat antarabangsa bagi memperkukuh teras ekonomi negara termasuk sektor tenaga domestik.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa langkah diplomatik yang diambil oleh pentadbiran Anwar tersebut adalah bagi meminimumkan kesan peperangan global, yang mana turut menjejaskan ekonomi negara serta membebankan kewangan rakyat.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha di peringkat tertinggi negara itu memerlukan sokongan padu daripada akar umbi menerusi kestabilan sosial.

Menutup ucapannya, Kon Yeow menyeru agar momentum keharmonian yang terpancar dalam majlis rumah terbuka tersebut diterjemahkan kepada kerjasama erat dalam mendepani apa jua cabaran masa hadapan.

Mantan Ketua Menteri merangkap ADUN Air Putih dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying; ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng turut berucap dalam majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam; Konsul Jeneral Kehormat Pakistan di Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Haji Abdul Rafique Karim dan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kader.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS