Kekang penularan COVID-19, umum sokong ‘total lockdown’ demi kebaikan

Admin

KERAJAAN Persekutuan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh (total lockdown) dengan menutup sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara selama dua minggu yang bermula hari ini sehingga 14 Jun 2021.

Keputusan tersebut dicapai ekoran angka penularan wabak COVID-19 di Malaysia yang semakin membimbangkan saban hari.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL, berkesempatan menemu bual beberapa responden yang terdiri daripada peniaga, pekerja awam dan swasta serta pelajar secara atas talian untuk mendapatkan respons mereka tentang pelaksanaan ‘total lockdown’ ini.

Mohamad Nurul Hakimi.

Bagi pekerja awam, MOHAMAD NURUL HAKIMI BIN ISMAIL, 41, beliau menyokong pelaksanaan ‘total lockdown’ ini kerana berpendapat bahawa ia dapat mengekang wabak COVID-19 daripada terus meningkat.

“Penutupan penuh di seluruh negara ini dapat memudahkan kerja para petugas barisan hadapan, terutamanya anggota polis yang menjaga sekatan jalan raya, tidak perlu lagi mereka menghadapi kerenah orang awam yang keluar tanpa urusan penting, risiko dijangkiti juga dapat dikurangkan.

“Sebagai anggota tentera, terdapat beberapa kesukaran jika perlu ‘work from home’, misalnya latihan dan mesyuarat perlu diadakan secara ‘face to face’.

“Hal ini dikatakan kerana latihan sememangnya melibatkan aktiviti fizikal dan setiap anggota perlu hadir untuk diuji, jika mesyuarat pula diadakan secara berdepan, sesuatu keputusan dapat dicapai dengan baik berbanding berbincang secara atas talian,” tambah beliau.

Mohamad Nur Farhan.

Bagi MOHAMAD NUR FARHAN BIN MOHAMAD FAUZI, 22, yang menjalankan perniagaan makanan ala Thai di Bayan Lepas, menyokong tindakan Perdana Menteri melaksanakan penutupan penuh ini, walaupun bakal menghadapi impaknya kelak.

“Bagus ‘total lockdown’ ini dilaksanakan kerana bilangan kes semakin meningkat, dalam pada itu pergerakan semua orang juga terkawal dan risiko jangkitan dapat dikurangkan.

“Saya sememangnya menyokong perkara ini dan sepatutnya dilakukan sejak dulu lagi, tetapi sebagai peniaga, sudah tentu perniagaan akan terjejas dalam masa yang sama sumber pendapatan juga akan merudum,” ujarnya lagi.

Mohamad Salleh.

Seterusnya, bagi MOHAMAD SALLEH ISMAIL, 43, pula tidak menyokong pelaksanaan penutupan penuh ini kerana sudah terlewat dan bilangan kes kian meningkat dengan drastik.

“Jika nak dibandingkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dulu, rakyat lebih berdisiplin dan teknik penyelenggaraan juga lebih tersusun, PKP yang terkini dilihat tidak mendapat langkah pencegahan khas dan hanya tertumpu kepada bantuan yang diberikan.

’Total lockdown’ ini dilihat mampu mengawal pergerakan rakyat, akan tetapi tidak mampu membantu kehidupan rakyat yang sedang bergelut meneruskan kelangsungan hidup,” tegas beliau yang bekerja di syarikat pengeluaran minyak dan gas.

Nurfatini Liyana.

Berpendapat sama, NURFATINI LIYANA BAHARI, 23, juga menyokong pelaksaan penutupan penuh demi kebaikan semua rakyat.

“Terdapat ahli keluarga saya yang sudah dijangkiti wabak ini, saya berasa amat sedih bila memikirkan situasi orang lain yang menghadapinya kerana sudah merasai.

’Total lockdown’ ini sememangnya wajar jika tidak angka kes tidak akan menurun dan tiada sesiapa boleh menjalani kehidupan normal seperti dulu.

“Sebagai ‘runner’ yang menjalankan perkhidmatan ‘cash on delivery’, sudah tentu perniagaan amat terjejas terutamanya perjalanan untuk ke mana-mana menjadi semakin sukar memandangkan surat pelepasan belum disediakan,” katanya.

Nur Azmina.

Selain itu, dari sudut pandangan pelajar, bagi NUR AZMINA HISHAM, 23, mengatakan bahawa beliau tidak menyokong tindakan penutupan penuh di seluruh negara ini.

“Sebagai pelajar saya hanya perlu belajar setiap masa dan dibebani tugasan yang sangat banyak di mana memerlukan interaksi dengan orang awam.

“Apabila ‘lockdown’, tugasan yang perlu dilakukan menjadi sukar dan hanya akan memberikan tekanan terhadap pelajar, ditambah pula pergerakan yang kian sukar ke mana-mana,” keluh pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Bangi itu.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL