Kekang perebakan COVID-19, ADUN peruntuk RM3,000 agih peralatan semburan bangunan

Admin

PAYA TERUBONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin hari ini memperuntukkan sejumlah RM3,000 sebagai inisiatif mengekang perebakan wabak COVID-19 di Persiaran Relau di sini.

Sejumlah tujuh unit disinfectant sprayer dan 28 unit pensanitasi semburan bangunan dengan isipadu lima liter setiap satu diserahkan kepada tujuh pihak pengurusan perumahan bertingkat yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru-baru ini.

Menurut Soon Hin, pihaknya sedar bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di kediaman bertingkat adalah lebih mencabar ekoran penduduk yang padat dan fasiliti yang terhad terutamanya di kawasan Paya Terubong.

Oleh itu, jelas beliau pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak pengurusan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) tersebut bagi memberi nasihat dan panduan untuk mengekang penularan wabak baru-baru ini.

“Saya telah menghubungi pihak-pihak pengurusan di kawasan Paya Terubong kerana kawasan ini yang paling banyak kediaman bertingkat, kita berikan nasihat dan tunjuk ajar bagaimana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat dijalankan dengan jayanya.

“Apa yang paling penting adalah sikap penduduk, di samping itu pihak pengurusan juga perlu mengetatkan lagi SOP sedia ada,” ujar beliau ketika ditemui pada majlis ringkas di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Relau di sini sebentar tadi.

Hadir sama Ahli-ahli MPKK Relau.

Di samping itu dengan disinfectant sprayer yang dibekalkan, Soon Hin juga mengingatkan pihak pengurusan agar melakukan disinfeksi dengan kadar segera sekiranya terdapat kes di kawasan masing-masing.

“Pastikan penduduk dimaklumkan segera sekiranya terdapat kes, dan sebagai badan yang bertanggungjawab, lakukan disinfeksi di seluruh kawasan awam kediaman dengan kadar segera,” seru beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI