Kelonggaran terhadap penerima lengkap dua dos vaksin, Persekutuan diminta memperinci SOP – Exco

BATU LANCHANG – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat memperincikan prosedur operasi standard (SOP) lengkap berhubung sektor yang dilonggarkan untuk penerima dua dos vaksin sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Jagdeep berkata, perkara tersebut amat penting ekoran SOP yang sering berubah-ubah hingga kadangkala mengelirukan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menguatkuasakannya.

“Kita mohon pihak berkenaan yang bertanggungjawab agar memperincikan segala SOP yang perlu agar mudah di kedua-dua PBT negeri menguatkuasakannya.

“Kerana sebagaimana diketahui sebelum ini SOP acap kali berubah-ubah hingga mengelirukan banyak pihak terutamanya agensi penguatkuasa,” ujarnya sebagai respons kepada kelonggaran yang bakal diberikan kepada penerima dua dos vaksin bermula esok.

Jagdeep sebelum itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pagi tadi meluangkan masa meninjau pusat saringan Program Penang Saring COVID-19 di lokasi ke-31 dekat Balai Raya Batu Lanchang di sini.

Hadir sama, ADUN Batu Lanchang, Ong Ah Teong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Sebagai rekod penerima vaksin dos pertama di Pulau Pinang adalah seramai 48.5 peratus, manakala penerima lengkap dua dos adalah kira-kira 28 peratus.

Dalam perkembangan sama, Jagdeep menegaskan terhadap kepentingan mempercepatkan vaksinasi terhadap golongan peniaga termasuk para pekerja yang bekerja di restoran ekoran kebenaran dine-in akan mula diberikan.

“Apa yang penting bukan sahaja pengunjung perlu lengkap dua dos vaksin, tapi para pekerja dan peniaga juga, mereka ini juga terdedah kepada jangkitan.

“Di pihak MBPP, terdapat lebih kurang lima ribu lebih peniaga, dan berdasarkan rekod hanya sekitar seribu lebih sahaja golongan peniaga telah vaksin.

“Justeru, saya berharap pihak Persekutuan dapat mempercepatkan pemberian vaksin, jadi kita boleh buat apa yang perlu kita (Kerajaan Negeri) buat,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN