PINANG TUNGGAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyampaikan sumbangan bernilai RM1,000 kepada keluarga mangsa kes pecah rumah di Kampung Padang Cempedak dekat Tasek Gelugor di sini baru-baru ini.
Beliau berharap sekumpulan perompak yang menyebabkan kematian mengejut Allahyarham Samsudin Bakar, 67, akibat serangan jantung segera ditangkap polis.
“Saya akan berbincang dengan Ketua Polis Negeri (Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi), saya harap perompak-perompak terbabit segera ditangkap, dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke kediaman Allahyarham.
Pada lawatan tersebut, Guan Eng menyampaikan sumbangan berkaitan kepada balu Allahyarham, Robiah Hasan, 63, yang turut ditemani dua anak lelakinya, Rusdi Samsudin, 42, dan Robisyam Samsudin, 40.
Hadir sama, Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul serta dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ahmad Tarmizi Abdullah dan Mohd. Shaipol Ismail.
Dalam kejadian sebelum ini, sekumpulan perompak bertindak memecah masuk rumah tersebut melalui tingkap dan pintu, lalu, mengikat Allahyarham, Robiah dan anak perempuannya, Rafizah Samsudin.
Rusdi dan Robisyam tiada di rumah semasa kejadian.
Kira-kira RM10,000, antaranya duit membeli lembu untuk Hari Raya Aidiladha, segugus kunci serta beberapa geran kenderaan dirompak dalam kejadian berkenaan.