Kelulusan TPM80PP Kerajaan Negeri jauh lebih tinggi – Exco

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN

DATUK KERAMAT – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan 95 peratus permohonan Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP, yang ditubuhkan sejak 2013) bernilai RM11.16 juta sehingga September 2017.

Katanya, untuk tahun 2017 sahaja, sejumlah 36 projek telah diluluskan dengan nilai RM5.10 juta.

“Namun, adalah amat mengejutkan apabila sumbangan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) oleh Kerajaan Pusat menjunam sehingga 92.5 peratus bagi tahun 2016.

“Tahun 2015, sumbangan TP1M adalah RM50.73 juta (seluruh negara) namun, pada 2016 cuma RM3.98 juta… ini adalah lebih rendah daripada TPM80PP milik Kerajaan Negeri.

“Menurut rekod juga, daripada 158 permohonan TP1M seluruh negeri, cuma 28 permohonan diluluskan,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke projek naik taraf lif Medan Samak Blok 26 dan 28 menerusi TPM80PP di sini baru-baru ini.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, beliau turut berasa kecewa bagi negeri-negeri lain di bawah Barisan Nasional (BN) seperti Kedah, Kelantan, Perlis, Sarawak, Terengganu, Putrajaya, Labuan yang langsung tidak menerima peruntukan TP1M untuk tahun 2016.

“Kerajaan Negeri sememangnya berhak untuk mengetahui status permohonan-permohonan TP1M, kerana Pulau Pinang satu-satunya negeri di Malaysia yang akan menampung baki kos projek 10 peratus bagi penyelenggaraan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah (30 peratus), selain daripada kos yang akan dibiayai Kerajaan Pusat melalui TP1M,” jelasnya.

Dalam pada itu, di Medan Samak, Jagdeep turut mengumumkan pembiayaan RM26,627.20 bagi projek naik taraf lif di Blok 26 dan 28.

“Jumlah tersebut adalah 80 peratus dana TPM80PP daripada jumlah sebenar RM33,284,000, dan baki ditanggung oleh badan pengurusan blok tersebut.

“Selain pembekalan rumah mampu milik, Kerajaan Negeri juga beri keutamaan kepada penyelenggaraan bagi skim perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan perumahan berharga RM150,000 (harga beli),” ujar beliau.