Kem Menara Gading anjuran PEKA dedah cabaran masuk universiti

Admin

BATU UBAN – Seramai 53 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menyertai Kem Menara Gading anjuran Penggerak Komuniti Muda (PEKA) bersama-sama Kelab Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan pada 6 hingga 8 Disember baru-baru ini.

 

Pengarah Eksekutif PEKA, Joshua Woo Sze Zeng berkata, penganjuran kem berkaitan adalah bagi memberi pendedahan kepada pelajar lepasan sekolah mengenai persiapan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

 

53 pelajar yang mengikuti Kem Menara Gading merakamkan gambar kenangan bersama.

“Pihak kami (PEKA) sedar bahawa cabaran bagi mahasiswa menempatkan diri dalam alam pekerjaan setelah tamat pengajian sukar, disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya pemilihan kursus pengajian yang tidak menepati pasaran kerjaya.

 

“Bukan itu sahaja, dari segi persiapan soft skill juga kurang yang mana bagi sesetengah majikan ia merupakan aspek yang penting dan turut dinilai semasa menemu duga,” ujarnya melalui kenyataan media pada 9 Disember lalu.

 

Menurutnya lagi, Sistem Kajian Pengesanan Graduan pada tahun 2017 merekodkan seramai 54,103 mahasiswa menganggur walaupun telah menamatkan pengajian selama enam bulan.

 

“Melihat keadaan ini, kami mengambil inisiatif menganjurkan program sebegini bagi memberi gambaran jelas mengenai realiti masa kini.

 

“Dalam masa sama, mereka juga disarankan untuk menyertai mana-mana aktiviti kokurikulum secara aktif bagi melahirkan graduan yang kompetitif.

 

ANTARA aktiviti berkumpulan yang dijalankan semasa penganjuran Kem Menara Gading di sini baru-baru ini.

“Malah, peserta turut didedahkan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0 dan mengadakan interaksi dua hala bagi melahirkan graduan yang berinovasi,” jelasnya.

 

Mengulas lanjut, Sze Zeng turut berkongsi rahsia kejayaan iaitu tanggungjawab, berinovasi dan bersatu.

 

“Sebagai pelajar, kita perlu ada rasa tanggungjawab dalam diri untuk mencapai kejayaan. Kejayaan akan menjadi lebih bermakna jika wujud inovasi baru yang dapat menyelesaikan banyak perkara.

 

“(Dan) paling utama, semua ini memerlukan kesepaduan…kerana hanya dengan perpaduan kita akan membina ketamadunan,” tambahnya.