Kem Sains Interaktif berikan pendedahan sains, matematik kepada 50 pelajar menengah dan rendah

Admin
SYERLEENA Abdul Rashid menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar yang menyertai Kem Sains Interaktif di Perpustakaan Awam Taman Tun Sardon baru-baru ini.

SERI DELIMA – Seramai kira-kira 50 orang pelajar sekolah menengah dan rendah berjaya menamatkan Kem Sains Interaktif yang berlangsung selama lapan minggu di Perpustakaan Awam Taman Tun Sardon semalam.

Majlis penutup disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid.

Syerleena ketika berucap memuji inisiatif yang dilakukan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dengan usaha sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Program ini adalah hasil kajian permintaan penduduk-penduduk kawasan dan saya akan meneruskan program seperti ini kerana ia dapat memberi pendedahan kepada anak-anak muda yang merupakan tulang belakang negara.

Saya juga akan adakan perbincangan dengan MBPP untuk menaik taraf perpustakaan ini untuk dijadikan sebuah pusat komuniti dan pada masa sama akan teruskan kerjasama dengan PYDC untuk memperbanyakkan lagi kelas-kelas dan program seumpamanya,” ujar beliau.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan MBPP, Rashidah Jalaludin, Ketua Pengarah Eksekutif PYDC, Teng Kok Liang dan Penasihat Kem Sains Interaktif Taman Tun Sardon, Dr. Lim Gin Keat.

Gin Keat ketika ditemuramah memaklumkan kem selama lapan minggu tersebut memberikan fokus kepada subjek sains dan matematik.

Projek secara percuma seperti ini akan diteruskan masa hadapan di kawasan-kawasan lain dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan MBPP,” ujarnya ringkas.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI